BUENOS AIRES – Buenos Aires memohon maaf kepada Perancis selepas Naib Presiden Argentina memanggil negara Eropah itu “penjajah” dan rakyatnya “hipokrit” dalam perbalahan mengenai dakwaan laungan perkauman oleh pemain bola sepak negara itu.
Pejabat Presiden Javier Milei berkata, ia sudah menghantar pegawai kanan ke kedutaan Perancis untuk menjelaskan kenyataan Victoria Villaruel dalam media sosial yang dibuat atas kapasiti peribadi.
FIFA mengumumkan siasatan terhadap lontaran lagu oleh pemain Argentina, termasuk pemain tengah Chelsea, Enzo Fernandez, 23, selepas mereka memenangi Copa America.
Laungan itu didengari dalam video siaran langsung dihantar di media sosial oleh Fernandez dari bas pasukan susulan kemenangan Copa ke atas Colombia di Miami pagi Isnin lalu.
Lagu itu menyasarkan bintang serangan Perancis, Kylian Mbappe antaranya dan termasuk penghinaan perkauman dan homofobik.
Fernandez sudah memohon maaf, tetapi Chelsea telah memulakan prosedur tatatertib dalaman terhadapnya.
Rabu lalu, Villaruel menyokong Fernandez di laman X, menyatakan: “Tiada negara penjajah yang akan menakut-nakutkan kita kerana laungan stadium atau bercakap kebenaran yang mereka tidak mahu akui. Cukuplah dengan pura-pura marah, hipokrit.”
Insiden diplomatik itu berlaku beberapa hari sebelum Milei dijangka berlepas ke Paris untuk menghadiri majlis perasmian Sukan Olimpik.
“Hubungan diplomatik dengan Perancis tetap utuh,” kata jurucakap Presiden Manuel Adorni semalam.
Setiausaha sukan Argentina, Julio Garro dipecat dari jawatannya minggu ini selepas berkata, kapten Lionel Messi dan Persatuan Bolasepak Argentina harus memohon maaf berikutan nyanyian itu.
Sebelum ini, Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) menyatakan semalam ia bercadang untuk membuat aduan kepada FIFA dan mengambil tindakan undang-undang selepas laungan perkauman daripada pemain pasukan Argentina yang memenangi Copa America 2024.
Presiden FFF, Philippe Diallo “mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan perkauman dan diskriminasi yang tidak boleh diterima terhadap pemain pasukan Perancis.”
Sesetengah pemain, termasuk Fernandez, menyanyikan lagu sejak perlawanan akhir Piala Dunia 2022 yang dimenangi Argentina menentang Perancis. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252