Sampel DNA sepadan, jenazah Nur Farah Kartini diserah hari ini

Sampel DNA sepadan, jenazah Nur Farah Kartini diserah hari ini

SUNGAI BULOH – Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan jenazah Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, akan diserahkan kepada keluarga hari ini.

Beliau berkata, proses padanan asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan sebelum ini sepadan dengan mangsa.

“Hasil DNA yang dipadankan adalah positif. Mayat yang ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor adalah Nur Farah Kartini.

“Saya sahkan bahawa jenazah akan diserahkan hari ini kepada keluarga,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini berharap urusan tuntutan jenazah berjalan lancar dan disegerakan.

Abang arwah, Mohd Farriza Amir Abdullah, 28, berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang perkembangan berkaitan tuntutan jenazah.

“Belum ada sebarang perkembangan, doakan urusan kami dipercepatkan dan dipermudahkan,” katanya.

Dalam pada itu, pengamal media dilihat berkumpul di pekarangan Unit Forensik Hospital Sungai Buloh sekitar jam 8 pagi bagi mendapatkan perkembangan lanjut berkaitan tuntutan jenazah Nur Farah Kartini.

Sebelum ini, difahamkan urusan berkenaan dijangka dilakukan selepas pengambilan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) ibu mangsa di Hospital Kuala Kubu Bharu.

Media pada Selasa melaporkan proses bedah siasat ke atas mayat Nur Farah Kartini yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh selesai pada jam 6.10 petang.

Pada Isnin, mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Kontinjen Perak telah ditahan dan direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *