Sertai Pas ketika keahlian UMNO digantung, ini penjelasan ADUN Rembia

Sertai Pas ketika keahlian UMNO digantung, ini penjelasan ADUN Rembia

MELAKA – Selepas dua hari berdiam diri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang menyertai Pas ketika keahliannya dalam UMNO digantung, akhirnya mendedahkan alasan beliau berbuat demikian.

Mengesahkan menyertai Pas pada 10 Jun 2023, sama seperti diumumkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kelmarin, Jailani berseloroh, sijil keahliannya dalam parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu gagal ditemui setakat ini.

ADUN Rembia itu memberi alasan beliau menyertai Pas, antara lain kerana perlembagaan dan asas perjuangan parti itu berlandaskan agama, paling konsisten dalam perjuangan sejak dahulu dan belum ‘tercemar’ serta dilihatnya sebagai parti paling kurang krisis di negara ini.

Beliau juga berasa dikhianati apabila Kerajaan Perpaduan dibentuk Disember 2022 selepas pimpinan UMNO didakwanya mengingkari janji tidak akan bekerjasama dengan PKR dan DAP, selain disebabkan pelbagai isu lain berkait agama dan dasar kerajaan semasa.

“Saya memilih berdiam diri, tunggu dan lihat macam mana kerajaan bertindak. Ini semuanya menyebabkan saya tak ada hati nak berada dalam kerajaan ini.

“Kerana itu saya memilih Pas,” katanya memaklumkan rumahnya tidak putus-putus dikunjungi pelbagai individu sejak tersiar berita beliau menyertai Pas,” katanya dipetik Berita Harian.

Muhamad Jailani menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas tiket PKR dan beliau antara empat ADUN Pakatan Harapan (PH) yang melompat menyokong Barisan Nasional (BN) bagi mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.

ADUN berkenaan dikatakan dipecat PKR, sebelum mengumumkan menyertai UMNO dan dipilih bertanding semula mempertahankan kerusinya mewakili BN pada PRN 20 November 2021.

Isu timbul apabila beliau hadir majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor, namun menegaskan kehadirannya mewakili Muafakat Nasional (MN) diterajui bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Pada PRU15, beliau turut menyertai perarakan pada proses penamaan calon Pas Parlimen Ketereh di Kelantan dan susulan itu, Lembaga Disiplin UMNO pada September lalu, mengesyorkan keahlian Muhamad Jailani digantung selama enam tahun.

Ketika mengumumkan penyertaan wakil rakyat itu dalam Pas, Takiyuddin menjelaskan, perkembangan itu menjadikan komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kini dianggotai tiga wakil pembangkang, bertambah seorang berbanding selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021.

Sementara itu, Muhamad Jailani berkata, beliau akan menghantar surat rasmi memaklumkan statusnya kepada Speaker DUN Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum dalam masa terdekat.

Semalam, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, isu ADUN Rembia menyertai Pas ketika status keahliannya dalam UMNO digantung, diserahkan kepada Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, parti menyerahkan sepenuhnya kepada Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN negeri untuk mengambil tindakan dan membawanya ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *