10 maut, 21 hilang selepas hujan

RIO DE JANEIRO – Sekurang-kurangnya 10 maut dalam banjir akibat hujan lebat di selatan Brazil setakat kelmarin, dan pasukan penyelamat masih mencari berpuluh lagi yang dilaporkan hilang.

Banjir di negeri Rio Grande do Sul menyebabkan kira-kira 3,300 kehilangan tempat tinggal di lebih 100 majlis perbandaran, kebanyakannya telah dipindahkan ke tempat perlindungan.

Presiden Luiz Inacio Lula da Silva mengumumkan, beliau akan melawat kawasan itu, yang sedang berhadapan dengan “bencana terburuk dalam sejarah negeri kita,” menurut gabenor Eduardo Leite.

Leite berkata, kerja mencari mangsa yang hilang diteruskan walaupun lebih banyak hujan lebat diramalkan.

Gabenor merayu bantuan pasukan yang “dilatih untuk situasi huru-hara dan peperangan”.

Hujan berterusan telah memusnahkan jambatan dan menyekat jalan, menyebabkan beberapa komuniti di negeri itu terputus hubungan sama sekali.

“Kami kehilangan segala-galanya, semua makanan, semua yang kami ada di rumah,” kata Adriana Salete Gas penduduk dari bandar Santa Cruz do Sul kepada media tempatan.

“Rumah kami setinggi dua meter dan masih dinaiki air.”

Pihak berkuasa menggesa orang ramai supaya mengelak kawasan di sepanjang lebuh raya negeri kerana risiko banjir lumpur, dan mengarahkan mereka yang tinggal berhampiran sungai atau di lereng bukit untuk berpindah.

Sejak Selasa, penyelamat dan askar bertungkus-lumus mengeluarkan keluarga yang terperangkap di rumah mereka, ramai ke atas bumbung rumah untuk melarikan diri dari air yang semakin meningkat.

Timbalan gabenor negeri, Gabriel Souza, berkata ganti rugi dianggarkan sebanyak AS$20 juta.

Sekurang-kurangnya 11 orang cedera dan hampir 20,000 terjejas akibat banjir, kata pihak berkuasa.

Cuaca buruk telah menghalang usaha menyelamat, kebanyakannya di tempat yang sukar dicapai, dan angka kematian terus meningkat daripada lima yang dilaporkan awal Selasa.

Lula menulis pada X bahawa beliau akan melawat kawasan itu semalam “untuk mengesahkan keadaan.”

Presiden mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan akan menghantar bantuan untuk bertindak balas terhadap bencana itu, yang menurutnya adalah akibat perubahan iklim.

Puluhan ribu orang di seluruh Rio Grande do Sul tidak ada air minuman, kata pegawai, dan perkhidmatan telefon dan Internet terputus di sekurang-kurangnya 60 perbandaran.

Dalam usaha untuk melarikan diri ke kawasan kering, penduduk di bandar kecil Encantado telah meninggalkan kawasan itu dengan berjalan kaki atau menaiki motosikal melalui jalan yang rosak dan berlumpur.

Kira-kira 100 kilometer dari bandar itu, bandar Sinimbu turut ditenggelami air, jalan-jalannya berubah menjadi sungai.

Datuk Bandar Sandra Backes berkata bandar berkenaan tidak mempunyai perkhidmatan Internet, air minuman dan elektrik, menyifatkan keadaan itu sebagai “mimpi ngeri.”

“Sinimbu seperti zon perang, musnah sama sekali. Semua kedai, perniagaan, pasar raya, semuanya musnah,” katanya dalam video yang disiarkan di Instagram.

Di Santa Cruz do Sul, penyelamat menggunakan bot untuk mengangkut penduduk, kebanyakannya kanak-kanak, ke tempat selamat.

Sungai-sungai di wilayah itu telah pun melimpah akibat ribut sebelum ini, dan hujan lebat pada akhir Mac menyebabkan sekurang-kurangnya 25 orang maut di negeri Rio de Janeiro dan Espirito Santo.

Negara terbesar di Amerika Selatan itu telah mengalami rentetan kejadian cuaca melampau kebelakangan ini, berkemungkinan disebabkan oleh perubahan iklim, menurut pakar.

Banjir berlaku selepas ribut di selatan dan tenggara, berikutan gelombang panas melampau. — AFP 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *