Bekas wartawan Sabah, derma mata

KOTA KINABALU – Seorang bekas wartawan akhbar tempatan di sini, menjadi penderma organ yang pertama di Sabah tahun ini selepas meninggal dunia akibat masalah perubatan, baru-baru ini.

Mendiang Kriscy Limjoon, 43, mendermakan sepasang mata atau kornea selepas pihak keluarganya memaklumkan hasrat mereka untuk menderma organ bagi membantu pesakit lain yang memerlukan.

Utusanborneo melaporkan, Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah (JKNS), Datuk Dr. Asits Sanna berkata, hasil penilaian mendapati hanya mata yang masih sesuai untuk didermakan dan pihak keluarga bersetuju meneruskan hasrat murni itu.

“Sepasang kornea yang didermakan juga berjaya ditransplan dan membantu memulihkan penglihatan dua orang pesakit yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pendermaan organ dan transplan kepada pesakit yang menerima organ mendiang dilakukan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, baru-baru ini.

Mendiang Kriscy, berasal dari Kampung Domis Hungab, Penampang yang juga ibu kepada dua orang anak pernah bertugas sebagai wartawan akhbar tempatan dan menjadi guru bahasa Inggeris sebuah sekolah swasta di Sabah.

Asits berkata, pihak keluarga menyifatkan mendiang sebagai seorang yang berhati murni, periang tetapi tegas dalam menjalankan tugas, selain suka membantu orang dan sentiasa memberi sokongan kepada peniaga tempatan.

Beliau berkata, walaupun tidak berkesempatan mendaftar sebagai pengikrar penderma organ, mendiang pernah berbincang dengan keluarganya mengenai hasrat untuk menderma organ.

“Jabatan Kesihatan Sabah mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak keluarga di atas pendermaan ini. Semoga roh mendiang diberkati dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini.

“Jabatan juga ingin menggalakkan orang ramai supaya berbincang dengan keluarga tersayang mengenai topik pendermaan organ supaya mudah untuk mereka memberikan keputusan pendermaan setelah pemergian kita,” katanya. – UtusanBorneo

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *