KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan tidak menyertai sebarang skim pelaburan yang tidak berdaftar di Malaysia.
Peringatan itu disampaikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf pada sidang media di pejabatnya, hari ini.
Menurut beliau, sebarang pelaburan dengan mana-mana skim yang tidak berdaftar adalah tidak dilindungi menurut perundangan negara ini, sekali gus meletakkan risiko kepada pelabur berdepan kerugian yang lebih besar.
Beliau turut memetik keputusan Mahkamah Persekutuan pada 24 April lalu telah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk melucut hak sejumlah RM1,112,700 daripada 79 pelabur skim pengambilan deposit secara haram. Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat turut mengarahkan wang tersebut dilucut hak kepada hasil kerajaan.
“Dalam kes tersebut, 79 responden yang terlibat telah membuat tuntutan kepada mahkamah untuk mendapatkan semula wang mereka yang dilaburkan dalam skim pelaburan VenusFX.
“Bagaimanapun, berdasarkan hujahan, wang yang dirampas daripada sindiket pelaburan tersebut adalah hasil aktiviti haram. Oleh itu, wang yang didepositkan oleh responden juga turut dicemari.
“Justeru, responden tidak boleh dianggap mempunyai kepentingan undang-undang yang sah terhadap wang berkenaan,” katanya.
Beliau menjelaskan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan juga dikatakan telah terkhilaf dari segi undang-undang ketika memutuskan bahawa responden menjadi mangsa penipuan.
Sedangkan, katanya, bukti menunjukkan mereka secara sukarela dan tanpa paksaan telah mendepositkan wang ke akaun diarahkan untuk menjadi pelabur dalam skim VenusFX serta mengharapkan pulangan atas pelaburan tersebut.
Beliau juga turut mengingatkan masyarakat tidak mempercayai sebarang tawaran yang berbentuk “to good to be true”.
Ramli juga merujuk kepada kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dalam siasatan satu kes di Petaling Jaya, Selangor yang mana dalam kes tersebut, pengadu memaklumkan telah berkenalan dengan suspek yang mengaku sebagai pemilik sebuah syarikat menjalankan perniagaan multi-level marketing.
Pengadu katanya, diyakinkan bahawa syarikat milik suspek bakal berkembang menjadi syarikat gergasi dan mempunyai cawangan di seluruh negara.
“Suspek meyakinkan pengadu yang dia mempunyai pegangan saham sebanyak 20,000,000 unit saham dalam syarikat tersebut dengan nilai 1 unit saham bersamaan RM1.
“Suspek telah menawarkan kepada pengadu untuk mengambil 5,000,000 unit saham miliknya dengan nilai hanya RM0.80 untuk setiap unit.
“Pengadu seterusnya telah membuat tiga pindahan wang ke dalam akaun yang diarahkan oleh suspek,” katanya.
Bagaimanapun, ujarnya, semakan lanjut mendapati suspek memiliki 1,500,000 unit saham sahaja dalam syarikat tersebut, menyebabkan pengadu mengalami kerugian RM4.1 juta. – Nasionaldaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252