KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil merakamkan penghargaan kepada seluruh warga industri televisyen atas komitmen dan dedikasi mereka dalam menyampaikan maklumat, mendidik serta menghiburkan masyarakat.
Menerusi hantaran di Facebook bersempena dengan Hari Televisyen Sedunia hari ini, Fahmi berkata televisyen turut menjadi medium penting dalam menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Beliau berkata sebelum kemunculan telefon bimbit dan media sosial, televisyen merupakan antara medium utama masyarakat mendapatkan maklumat dan hiburan.
Televisyen, katanya, bukan sahaja menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat menerusi penyiaran berita dan rancangan kegemaran, malah turut merakam serta menyiarkan pelbagai peristiwa bersejarah.
Fahmi turut mengucapkan Selamat Hari Televisyen kepada seluruh warga industri itu, termasuk mereka yang bertugas di hadapan dan di belakang tabir, atas sumbangan berterusan dalam memastikan medium berkenaan terus memainkan peranannya kepada masyarakat.
“Teruskan berkarya dan mainkan peranan penting untuk membina Malaysia yang lebih harmoni,” katanya.
Hari Televisyen Sedunia disambut pada 21 Nov setiap tahun selepas diisytiharkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1996 bagi mengiktiraf peranan televisyen dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu keamanan, keselamatan serta pembangunan ekonomi dan sosial. – BERNAMA
Facebook: Nasional Daily
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
