KOTA BHARU – Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki menikam isterinya yang juga seorang jururawat sebanyak enam kali dalam kejadian di Kampung Padang Lepai, Kadok, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Azmir Damiri berkata, suspek berumur 47 tahun itu direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 12 Oktober ini.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Sementara itu, ibu mangsa, Zubaidah Abdullah, 78, berkata, anaknya yang mengalami enam luka tikaman termasuk pada bahagian hati, usus dan leher dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk menerima rawatan.
Zubaidah berkata, anaknya yang telah enam tahun berkahwin dengan suspek kini dalam proses perceraian dan sebelum ini pernah membuat laporan polis berkaitan ugutan bunuh.
Menceritakan detik kejadian pada malam itu, pada mulanya dia menyangka menantunya hanya menumbuk anaknya ketika berlaku pergelutan sebelum menyedari kejadian menjadi serius selepas melihat darah berlumuran di lantai.
“Saya cuba menarik bahagian belakang bajunya untuk menghalang suspek daripada terus mencederakan anak saya, tetapi tidak berjaya.
“Kami sebenarnya tidak tahu suspek berada di bahagian luar dapur kerana di situ agak gelap. Saya juga tidak menyangka dia akan membuat serangan mengejut begitu,” katanya yang turut menerima dua jahitan pada jari akibat kecederaan dalam kejadian itu.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Zubaidah berkata, cucu lelakinya berusia 12 tahun kemudian keluar rumah untuk mendapatkan bantuan, manakala suspek melarikan diri sebelum menyerah diri di Balai Polis Nilam Puri. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
