KUALA TERENGGANU – Terengganu menjadi destinasi pertama Proz United membawa pasukan keluar dari Melaka selepas lapan tahun penubuhan kelab itu, dengan tujuh pemain tampil menguji kemampuan pada Kejuaraan Tenis Terbuka Terengganu 2026.
Berpangkalan di Ayer Keroh, Melaka, Proz United yang bermula sebagai komuniti kecil dalam kalangan peminat tenis kini mula memperluaskan penyertaan ke kejohanan domestik, sekali gus membuka ruang kepada pemainnya merasai persaingan di luar negeri sendiri.
Bagi kapten pasukan, Jailani Nordin, 50, perjalanan dari Melaka ke Pantai Timur bukan halangan untuk membawa enam lagi rakan sepasukan menyahut cabaran pada jelajah pertama mereka sejak kelab itu ditubuhkan.
“Faktor usia bukan halangan walaupun hadir berstatus kelab bukan pilihan untuk kejuaraan ini namun kami tetap teruja untuk beraksi di sini untuk jelajah pertama kami sejak penubuhan.
“Sudah tentu setiap pasukan bertanding ingin menaiki podium, begitu juga kami namun sasaran awal untuk kami sekurang-kurangnya meletakkan pasukan dalam kelompok 5 terbaik untuk kejuaraan ini,” ujarnya.
Jailani berkata penyertaan di Terengganu turut memberi peluang kepada setiap pemain Proz United untuk beraksi mengikut kategori masing-masing, termasuk kategori 50 tahun ke atas.
Katanya, tujuh pemain yang dibawa ke kejohanan itu menyertai semua kategori yang dipertandingkan sebagai sebahagian daripada usaha kelab memberi peluang sama rata kepada setiap pemain untuk mendapatkan pengalaman dalam suasana pertandingan kompetitif.
Langkah keluar dari Melaka itu juga menjadi perkembangan baharu bagi Proz United yang sebelum ini lebih banyak menjalankan aktiviti dan menyertai pertandingan di sekitar negeri berkenaan, selepas lapan tahun membina komuniti tenis mereka.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kejuaraan Tenis Terbuka Terengganu 2026 berlangsung selama dua hari bermula 2 Oktober dengan mempertandingkan tiga kategori berpasukan iaitu Lelaki Terbuka, 40 tahun ke atas dan 50 tahun ke atas.
Kejohanan itu turut menawarkan hadiah wang tunai bagi setiap kategori, manakala bagi Proz United, penyertaan sulung di luar Melaka menjadi medan untuk menguji kemampuan pemain sebelum meneruskan usaha menyertai lebih banyak kejohanan domestik selepas ini.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
