Menggilap Nurani, Membugar Ukhuwah di bumi Berastagi

Oleh: Mohd. Shah Abdullah

BERASTAGI (Medan) – Cuaca dingin mencecah 18° Celcius, manakala siang sekitar 24° Celcius benar-benar menimbulkan pesona indah dan keasyikan sepanjang berada di kawasan tanah tinggi peranginan ini.

Meskipun terletak di kawasan garis Khatulistiwa yang lazimnya panas, tetapi Berastagi seperti Cameron Highlands menawarkan kelainan cuaca. Dingin, basah, redup dan bahagia.

Awal pagi kumpulan jemaah seramai 70 orang sudah bersiap sedia untuk memulakan solat Subuh dipimpin Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari, seorang ulama terkemuka Nusantara yang menghabiskan jadual rutin hariannya dengan berdakwah, berkongsi ilmu, memimpin majlis zikir, dan mendidik hati peserta jemaah agar mengenali Allah dan Cinta Rasul.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Syeikh Nuruddin akrab disapa Abi oleh anak-anak muridnya mengajar erti kasih sayang, Rahmah dan memadukan hati nurani agar hidup bersuluhkan al-Quran dan as-Sunnah.

Demikian itulah acara daurah yang menghimpunkan peserta dari Malaysia dan sebahagian dari Republik Indonesia duduk dalam majlis ilmu. Siang, malam acara diisi dengan bacaan kitab, solat berjemaah, berzikir dan bermunajat dalam suasana hening dan bening ranah Berastagi.

Kali ini kitab yang disyarahkan beliau berjudul Safarul Mar’ah (Perjalanan Wanita) mengupas tuntas mengenai kedudukan wanita, hukum hakam ketika bermusafir.

Meskipun judul dan perbahasannya tentang wanita, kupasannya bersifat universal. Peserta lelaki yang hadir tentu sahaja menikmati permata ilmu yang tersaji dalam kitab ini.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Menarik kerana peserta dibawa jauh dari lingkungan tanah air Malaysia, duduk kira-kira empat hari dari 16 September hingga 20 September, istiqamah menadah kitab, mencatat nota dan tekun mendengar khulasah Abi. Sesekali tawa kecil kedengaran bila Abi bercanda untuk menghidupkan suasana.

Peserta yang hadir kebanyakannya warga emas, kini mengisi masa dengan mencari ilmu, safari ilmiah dan menggilap rohani sebagai bekalan pasti ke negeri abadi.

Abi seorang sosok ilmuan yang tegas, cerdas, lugas dalam penyampaiannya. Beliau menyampaikan ilmu selari dengan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah, tidak gemar berbicara hal titik bengik di luar tradisi Ahli Sunnah.

Peserta rehlah yang hadir sentiasa memberi fokus terhadap penyampaian Abi, tiada telefon selular di tangan, tidak tidur ketika kuliah disampaikan dan duduk dengan penuh tertib.

Abi pentingkan adab dalam mengajar dan belajar. Tradisi ini sudah sekian lama dipupuk menerusi sistem pendidikan yang diasaskannya di tiga pondok moden, iaitu di Perkampungan Janda Baik; Kluang, Johor dan Maahad az-Zein di Bogor, Jakarta.

Melalui acara rehlah ilmiah ini, peserta menghidupkan suasana dengan tradisi ilmu belajar secara membaca kitab sambil guru memberikan syarahan dan penjelasan.

Kemudian solat fardu secara berjemaah, menghidupkan bacaan zikir-zikir Mathur (rantaian bersanad langsung kepada Rasulullah s a.w.) – tujuan utamanya untuk mendidik peserta agar memiliki peribadi yang tangguh, sentiasa dalam suasana muraqabah dan mengingati Allah dalam segala situasi dan kondisi.

Abi sangat pentingkan solat fardu berjemaah. Suaranya tegas, kuat dan raut wajahnya berubah bila menyebut hal ini kerana solat berjemaah mempunyai banyak kelebihan dan ganjarannya.

Abi akan terus berdakwah, melangkah ke segenap wilayah, daerah dan tempat di Malaysia, Indonesia dan rantau Nusantara.

Rehlah dakwah Abi menjadi mudah dan lancar kerana beliau mempunyai barisan pembantu setia seperti saudara Azri, saudara Sanusi dan saudara Hanif. Mereka memegang diari perjalanan Abi dan menyusun program memastikan kerja dakwah Abi tersusun lancar.

Berastagi berjarak tiga jam perjalanan darat dari kota Medan menawarkan suasana penuh ketenangan ketika daurah ilmiah ini berlangsung.

Selain meraih barakah ilmu, daurah ini menghidupkan perasaan kasih sayang dan ukhuwah sesama peserta yang datang dari pelbagai latar belakang, profil, dan pengalaman hidup.

Hanya kesatuan hati dan fikrah yang dipupuk secara istiqamah oleh Abi menjadikan peserta daurah memiliki ketundukan kepada Tuhan Pencipta. Tiada agenda lain yang tersembunyi, kecuali Cinta Allah, Cinta Rasul.

Mohd. Shah Abdullah merupakan bekas wartawan dan bekas Pensyarah dalam bidang Komunikasi juga Penasihat Editorial NasionalDaily.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *