KUALA LUMPUR – Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan Persekutuan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan bertujuan membeli sokongan Ahli Parlimen pembangkang, sebaliknya merupakan persefahaman rentas parti bagi menjamin kestabilan pentadbiran serta membuka ruang kepada pelaksanaan reformasi institusi.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, memorandum CSA yang dimeterai pada 29 Oktober 2026 itu secara jelas menyatakan matlamat berkenaan, termasuk merujuk kepada Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik 2021.
Menurutnya, penerbitan dokumen berkenaan menerusi portal Parlimen membolehkan orang ramai meneliti sendiri kandungan, syarat serta komitmen yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Beliau berkata, keterbukaan itu perlu diteruskan dalam pelaksanaan CSA, khususnya membabitkan proses kelulusan dan penyaluran peruntukan pembangunan kepada kawasan Parlimen.
Mujahid menjelaskan, Klausa 3.2(a) dan 3.2(b) menetapkan komitmen Ahli Parlimen Bersatu yang dinamakan dalam perjanjian itu untuk menyokong belanjawan, urusan perbekalan dan perkara kewangan tertentu, selain undian berkaitan keyakinan terhadap kerajaan atau Perdana Menteri.
Katanya, perjanjian itu turut merangkumi agenda reformasi institusi menerusi Klausa 3.2(d), termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri serta memisahkan peranan Peguam Negara daripada Pendakwa Raya.
Malah, Klausa 3.3 memperuntukkan kerajaan perlu mengadakan rundingan dan mendapatkan pandangan Bersatu sebelum membentangkan usul berkaitan pemerkasaan Bumiputera serta reformasi institusi yang dinyatakan.
Beliau menegaskan, komitmen sokongan undi berkenaan hanya terpakai kepada perkara yang disenaraikan secara khusus dalam Klausa 3.2 dan tidak bermaksud Bersatu perlu meninggalkan kedudukannya sebagai pembangkang.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Mujahid berkata, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menegaskan parti itu kekal berada dalam blok pembangkang dan akan terus memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan.
Malah, Tengku Zafrul turut menjelaskan bahawa Ahli Parlimen yang menandatangani CSA masih bebas mengkritik kerajaan.
Justeru, katanya, kebebasan Ahli Parlimen untuk mempersoalkan keputusan kerajaan, meneliti perbelanjaan awam dan membangkitkan kelemahan pentadbiran perlu terus dipelihara bagi memastikan integriti serta ketelusan dalam pemerintahan.
Mengulas kritikan Presiden PAS yang menyifatkan CSA sebagai pendekatan ‘Dajjal pada akhir zaman’, Mujahid mempersoalkan asas dakwaan sedemikian sedangkan kandungan perjanjian itu boleh diteliti secara terbuka.
“Di mana Dajjalnya? Di mana bukti bahawa ini dokumen untuk membeli Ahli Parlimen?” soalnya.
Beliau mencabar pihak yang membuat tuduhan supaya mengemukakan klausa khusus yang dipertikaikan, terutama jika dakwaan itu dikaitkan dengan pemberian peruntukan kawasan.
Katanya, sebarang dakwaan mengenai habuan peribadi atau penyalahgunaan dana perlu disokong bukti, bukannya dibina berasaskan tanggapan dan retorik politik.
Mujahid menegaskan, rakyat berhak membuat penilaian secara objektif berdasarkan kandungan sebenar dokumen serta rekod pelaksanaannya, bukan semata-mata menerima tuduhan yang dilemparkan oleh mana-mana pihak.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
