KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah mengingatkan parti Amanah tidak sewenang-wenangnya melabel kerjasama politik UMNO dengan pihak lain sebagai tindakan yang mencerminkan ketiadaan maruah atau harga diri.
Beliau menegaskan, kerjasama politik tidak semestinya bermaksud sesebuah parti menggadaikan prinsip atau kehilangan pendirian, sebaliknya merupakan sebahagian daripada kematangan dalam menghadapi realiti politik demi kepentingan rakyat dan kestabilan negara.
Menurutnya, tindakan sesetengah pihak mudah menghina dan mempertikaikan keputusan politik parti lain hanya kerana perbezaan pendirian memperlihatkan sikap tidak menghormati kepelbagaian pandangan dalam landskap politik negara.
Beliau turut mempersoalkan pendirian Amanah yang didakwa menggunakan ukuran berbeza apabila menilai kerjasama politik, khususnya apabila tindakan sedemikian memberikan keuntungan kepada parti itu sendiri.
“Kenapa apabila UMNO bekerjasama dengan pihak lain, ia dianggap makan keliling? Bagaimana pula dengan Amanah? Adakah kerjasama politik yang menguntungkan pihak sendiri dianggap berprinsip, tetapi apabila pihak lain melakukannya, ia dianggap tiada maruah?
“Jangan gunakan dua neraca dalam politik,” katanya dalam kenyataan media.
Shamsul Anuar berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah gabungan politik yang bebas menentukan hala tuju serta membuat keputusan berdasarkan pertimbangan dan penilaian sendiri terhadap perkembangan semasa.
Katanya, UMNO dan BN lebih memilih kerjasama yang boleh memberikan manfaat kepada rakyat berbanding terjebak dalam politik kebencian serta sikap sesetengah pihak merasakan hanya mereka mempunyai prinsip dan pendirian paling benar.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Justeru, beliau menegaskan sebarang bentuk kerjasama politik yang dijalin UMNO dan BN tidak seharusnya ditafsirkan sebagai tanda kelemahan atau kehilangan harga diri.
Sebaliknya, tindakan itu mencerminkan kematangan dalam membuat keputusan dengan mengambil kira realiti politik dan kepentingan yang lebih besar.
“Nasihat saya kepada Amanah, jangan terlalu mudah melabel orang lain sebagai makan keliling, sedangkan perjalanan politik sendiri tidak pernah sunyi daripada kompromi.
“Cermin diri dahulu sebelum menuding jari kepada orang lain,” katanya.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar menjelaskan penyertaan UMNO dan BN dalam Kerajaan Perpaduan Nasional adalah berlandaskan penghormatan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, beliau menegaskan komitmen berkenaan hanya akan diteruskan sehingga tamat penggal kerajaan semasa.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
