Oleh: Prof. Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin
MAJLIS Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ke-24 melabuhkan tirai selepas meraikan 3,363 graduan yang berlangsung di universiti itu baru-baru ini.
Mereka terdiri daripada 2709 graduan sarjana muda, 452 diploma lepasan ijazah, 101 sarjana dan 101 doktor falsafah dalam pelbagai bidang.
Bagi menambah kegembiraan para graduan dan keluarga, sebilangan daripada mereka yang cemerlang menerima anugerah dan hadiah kecemerlangan mengikut peringkat pengajian masing-masing.
Pada kali ini, sebanyak 46 anugerah dan hadiah kecemerlangan konvokesyen USIM telah ditaja oleh Universiti, organisasi tempatan dan antarabangsa serta individu.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10 kategori khas untuk graduan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP).
Antara penajanya adalah Yayasan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) yang menganugerahkan kepada graduan terbaik fakulti itu yang berasal dari Negeri Pahang.
Pada konvokesyen kali ini, Nurin Nabila binti Ramli, graduan Program Komunikasi Media Baharu Dengan Kepujian dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Kecemerlangan Anak Pahang.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Beliau yang berasal dari Benta, Kuala Lipis Pahang tidak menyangka dipilih sebagai penerima anugerah itu. “Saya sangat bersyukur dengan rezeki dan peluang diberikan oleh Yayasan KOSMA. Terima kasih Yayasan KOSMA.”
Nurin, anak kepada seorang bapa penoreh getah itu, merupakan anak ketiga daripada lima adik-beradik.
Beliau kini bekerja sebagai Content creator and live host di Syarikat Rakids di Dengkil, Selangor, tempat yang sama beliau menjalani latihan industri sebelum ini.
“Saya ingin memberi fokus kepada pekerjaan bagi mencari pengalaman dan menimba ilmu dalam dunia pekerjaan,” jelas beliau mengenai perancangan kerjayanya.
Penaja hadiah, Yayasan KOSMA adalah sebuah badan kebajikan yang ditubuhkan di bawah naungan Koperasi Serbaguna Makmur Berhad yang berpusat di Kuantan, Pahang.
Misi utama yayasan itu untuk menyokong bidang pendidikan, membantu golongan memerlukan, serta memperkasakan kesejahteraan masyarakat negeri itu.
Bantuan merangkumi sumbangan pendidikan termasuk kepada murid-murid sekolah, bantuan bencana alam, kesihatan, serta sara diri golongan asnaf dan anak-anak yatim.
Profesor Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
