KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO Setiawangsa, Fadzmel Fadzil membidas kenyataan Datuk Afdlin Shauki yang didakwa memperlekeh isu titah diraja menerusi pendekatan sindiran dan jenaka, sedangkan perkara membabitkan institusi diraja memerlukan penelitian serta penjelasan berlandaskan fakta.
Beliau berkata, titah diraja bukan perkara yang wajar disamakan dengan alat atau objek biasa untuk dijadikan bahan jenaka, apatah lagi apabila isu berkenaan menyentuh kedudukan institusi diraja dalam kerangka Perlembagaan.
Menurutnya, perbahasan mengenai institusi diraja perlu dilakukan dengan penuh tertib, kebijaksanaan dan tanggungjawab, bukannya sekadar menghasilkan sindiran untuk meraih perhatian atau mencetuskan reaksi masyarakat.
Fadzmel turut mempersoalkan tindakan Afdlin yang mengaitkan dua isu berbeza dengan mendakwa UMNO mempunyai pendirian tidak konsisten dalam menghormati institusi diraja.
Katanya, Afdlin sendiri mengakui kedua-dua isu berkenaan mempunyai fakta serta proses perundangan yang berlainan. Oleh itu, perbezaan tersebut perlu diperjelaskan terlebih dahulu sebelum sebarang kesimpulan dibuat terhadap pendirian UMNO.
Beliau menegaskan penghormatan terhadap institusi diraja merupakan antara prinsip yang terkandung dalam asas perjuangan UMNO dan parti itu sentiasa berusaha mempertahankan kedudukan institusi berkenaan.
Mengulas isu di Negeri Sembilan, Fadzmel berkata, UMNO mempunyai pendirian tersendiri dalam menguruskan tanggungjawab mempertahankan institusi diraja serta adat yang menjadi keunikan negeri itu.
Jelasnya, struktur pemerintahan dan adat di Negeri Sembilan mempunyai keistimewaan tersendiri yang berbeza daripada negeri-negeri Melayu lain, justeru tidak boleh dinilai menggunakan pendekatan atau ukuran yang sama.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sejauh mana kepimpinan parti Afdlin tampil memberikan penjelasan berhubung keputusan Peguam Negara dalam isu membabitkan titah adendum berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, keputusan berkenaan telah mencetuskan persoalan besar, khususnya apabila dikaitkan dengan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Fadzmel berkata, isu itu tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai pertikaian mengenai nasib Najib, sebaliknya perlu diberikan perhatian dari sudut implikasi terhadap struktur dan prinsip Perlembagaan.
Katanya, sekiranya tafsiran pihak berkuasa undang-undang boleh menyebabkan titah atau perkenan Yang di-Pertuan Agong tidak dapat dilaksanakan, keadaan itu berpotensi mewujudkan duluan yang boleh menjejaskan kedudukan institusi perlembagaan pada masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Afdlin, yang juga pemimpin di kawasan Setiawangsa, supaya memainkan peranan menjernihkan kekeliruan masyarakat dengan memberikan penjelasan berhubung persoalan yang dibangkitkan.
Beliau berpendapat, tindakan menyindir UMNO tanpa menjawab isu pokok hanya mengalihkan perhatian daripada persoalan sebenar, malah tidak membantu masyarakat memahami perbezaan fakta dan kedudukan undang-undang dalam kedua-dua isu berkenaan.
“Sebagai pemimpin, Datuk juga mempunyai tanggungjawab untuk menjernihkan kekeliruan rakyat. Menyindir UMNO semata-mata menunjukkan kelemahan pemikiran dan tidak menjawab persoalan yang dibangkitkan.
“Tak percaya? Lihat sahaja komen-komen rakyat dalam status Datuk,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
