Merentas Sempadan, Menabur Bakti: Kembara Sukarelawan Kelab Prime Mover UiTM di Bumi Sumatra

Oleh: Nawwar Hafidz Rahimi

SUMATERA BARAT, INDONESIA – Era globalisasi dan pemodenan pesat hari ini menyaksikan masyarakat serantau berdepan dengan pelbagai cabaran kompleks yang merentasi sempadan negara.

Daripada krisis perubahan iklim yang memacu bencana alam, isu kesihatan mental yang kian melanda golongan remaja, sehinggalah kepada cabaran menyediakan pendidikan inklusif serta perlindungan sosial buat golongan berkeperluan khas dan anak-anak yatim, semua ini menuntut perhatian serta tindakan kolektif yang berterusan.

Mendepani realiti tersebut, peranan mahasiswa tidak lagi wajar terhad di dalam bilik kuliah semata-mata, sebaliknya mereka dituntut untuk tampil sebagai agen perubahan yang membawa solusi nyata kepada komuniti.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Atas kesedaran ini, seramai 26 mahasiswa bersama seorang pegawai pengiring daripada Kelab Prime Mover UiTM, Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban telah melangkah gagah menjayakan Global Volunteer Mission to West Sumatra-Riau, Indonesia.

Berlangsung selama lapan hari dari 10 hingga 17 Ogos lalu, kembara kesukarelawanan antarabangsa ini membawa misi besar untuk menterjemahkan nilai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) secara praktikal melalui rangkaian aktiviti kemasyarakatan yang berimpak tinggi di Padang, Bukittinggi, dan Pekanbaru.

Tirai kembara dibuka rasmi pada 10 Ogos di Universitas Negeri Padang (UNP) menerusi penganjuran Forum SDG: Empowering University Students for a Sustainable Future dengan kerjasama Badan Eksekutif Mahasiswa Keluarga Mahasiswa (BEM KM) Universitas Negeri Padang.

Forum ilmiah ini menjadi platform perbincangan interaktif yang memfokuskan kepada Kesihatan Baik dan Kesejahteraan (SDG 3), Pendidikan Berkualiti (SDG 4), Kesaksamaan Gender (SDG 5), Bandar dan Komuniti Mampan (SDG 11), Tindakan terhadap Perubahan Iklim (SDG 13), serta Perkongsian untuk Matlamat (SDG 17).

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Perbincangan hangat mengupas isu cuaca ekstrem serantau, impak perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan pusat data terhadap penggunaan tenaga, serta perkongsian inisiatif Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 (DPIN 2.0) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dari Malaysia.

Selesai agenda ilmiah di menara gading, sentuhan kemanusiaan diteruskan pada 11 Ogos menerusi aktiviti Therapeutic with A Special Need Children di Sekolah Luar Biasa (SLB) Autis Buah Hati Ibu, Padang.

Seramai 25 mahasiswa turun padang bagi menyokong pendidikan inklusif menerusi pelbagai aktiviti terapeutik seperti joyful handprintsbuilding block, permainan ting-ting, sorting activity, dan shape matching bagi merangsang perkembangan kognitif serta kemahiran motor halus murid-murid autisme.

Pengurus Aktiviti, Amirul Afandi Mohd Sahha menjelaskan, interaksi terus ini memberi pembelajaran berharga kepada mahasiswa dalam membina kemahiran interpersonal dan rasa empati.

Jejak kesukarelawanan kemudiannya membawa peserta menyusuri kawasan perhutanan di Lembah Harau, Kabupaten Lima Puluh Kota pada 13 Ogos menerusi Program Lestari Alam dengan kerjasama Rimba Satwa Foundation (RSF).

Inisiatif mahasiswa bersama renjer tempatan terhadap kebakaran hutan di Lembah Harau adalah menjayakan aktiviti restorasi habitat dengan menanam pokok-pokok ekonomi seperti avokado, durian dan manggis yang berpotensi menjadi sumber pendapatan sampingan penduduk tempatan.

Peserta turut menyusuri laluan denai bagi mengemas kini inventori biodiversiti serta mengutip sisa buangan demi memastikan kawasan habitat hidupan liar kekal selamat, di mana Pengarah Program Lestari Alam, Syazwan Ariff Syahrul Nazry berharap usaha ini menyemarakkan lagi kesedaran pemeliharaan alam dalam kalangan belia.

Misi diteruskan pula ke SMA Negeri 1 Pekanbaru, Riau pada 14 Ogos menerusi Program Remaja Holistik. Sebagai respons kepada cabaran kesihatan jiwa dan emosi remaja serantau, seramai 25 mahasiswa bertindak sebagai fasilitator kepada 85 pelajar berusia 15 hingga 17 tahun menerusi empat modul utama iaitu Modul Perkembangan Diri dan Transformasi Remaja, Modul Kesihatan Mental Remaja, Modul Seksualiti Remaja, dan Modul Motivasi serta Bimbingan Diri Remaja.

Pengarah Program Remaja Holistik, Muhammad Zulhusni Mohd Shahrizan meluahkan harapan agar bimbingan ini membantu pelajar mengurus emosi serta benteng diri secara lebih matang.

Meningkatkan lagi impak kesukarelawanan di Riau, Projek Growing Safe, Clean and Green Together (GREAT) dilaksanakan di Panti Asuhan Al-Muhsinin, Pekanbaru bagi menyantuni anak-anak yatim dan fakir miskin.

Menyedari isu eksploitasi kanak-kanak yang kritikal, seperti laporan UNICEF yang mencatatkan satu daripada delapan kanak-kanak berdepan risiko pencabulan seksual akibat ketiadaan pendedahan awal dimana mahasiswa Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban membawakan modul khas Kempen Start Awareness from Early (S.A.F.E).

Menerusi pendekatan interaktif, anak-anak panti dididik mengenali batasan fizikal menerusi konsep sentuhan selamat dan tidak selamat serta membina keberanian melaporkan ancaman.

Bagi menyokong SDG 3, projek di panti asuhan ini turut membimbing anak-anak dengan teknik memberus gigi dan cuci tangan yang betul bagi mencegah penyakit berjangkit.

Selain itu, segmen Greenation: 3R (Eco-Print) yang diadakan dengan kerjasama NGO Indonesian Youth Education and Social (IYes) Foundation memberi pendedahan keusahawanan hijau apabila anak-anak diajar mengolah fabrik beg kanvas menggunakan teknik ketukan daun dan bunga semula jadi.

Pengurus Projek GREAT, Emilia Natasha Nor Hisham menekankan, pemerkasaan kepimpinan mahasiswa dalam menguruskan diplomasi kesukarelawanan rentas negara menjadi teras kejayaan program ini.

Mengulas keseluruhan kembara antarabangsa ini, Penasihat Kelab Prime Mover UiTM, Khairolizwan Harry menegaskan, pendedahan luar bilik darjah seperti ini sangat kritikal dalam membentuk sahsiah, jati diri, dan watak mahasiswa sebagai pemangkin perubahan (catalysts of change) yang berdaya saing di peringkat global.

Sejajar dengan pandangan tersebut, Presiden Kelab merangkap Pengarah Program, Muhammad Irfan Haziq Abdul Razak menekankan, misi rentas sempadan ini telah melepasi penanda aras kesukarelawanan biasa.

Beliau menjelaskan, inisiatif ini berjaya menterjemahkan nilai kemanusiaan sejagat kepada tindakan nyata yang memberi impak berpanjangan.

Menerusi semangat kebersamaan dan diplomasi belia, mahasiswa terbukti berupaya menjadi ejen pemangkin yang bukan sahaja menyentuh hati komuniti serantau, malah menyemaikan benih harapan buat generasi masa depan.

Di samping menabur bakti, peserta turut menyelami keunikan warisan tempatan menerusi lawatan budaya ke Istana Basa Pagaruyung serta menyokong usahawan tempatan (UMKM) di sekitar Sumatera.

Program diakhiri dengan pengagihan sumbangan keperluan asas, menandakan kembara lapan hari tujuh malam ini berlabuh dengan penuh rasa kesyukuran serta meninggalkan impak positif yang berpanjangan buat masyarakat serantau.

Nawwar Hafidz Rahimi adalah Exco Penerbitan Artikel dan Media Massa, Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban 

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *