KOTA KINABALU – Tiga sekeluarga ditemukan rentung, manakala seorang lagi melecur selepas rumah dua tingkat yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Darau, Menggatal, di sini awal pagi tadi.
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Loupin Adow, 67, anaknya, Azman Maduin, 50, serta cucunya, Nurul Asyiqin Alinor, 29.
Seorang lagi mangsa, iaitu suami kepada Nurul Asyiqin yang berusia 34 tahun, mengalami kecederaan akibat melecur dalam kejadian pada jam 1.43 pagi itu.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada jam 1.43 pagi.
Menurut kenyataan itu, jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas yang terletak kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian tiba di tempat kejadian pada jam 1.50 pagi.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal sedang terbakar.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiga mangsa ditemukan dalam keadaan rentung di dalam rumah berkenaan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan akibat melecur,” katanya.
Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kebakaran itu turut menyebabkan keseluruhan struktur rumah berkenaan musnah 100 peratus.
Rumah dua tingkat berkenaan dianggarkan berkeluasan 40 kaki x 40 kaki dan diperbuat daripada struktur jenis tidak kekal.
Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman sebaik tiba di lokasi dengan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki serta dua pancutan air yang dibekalkan daripada tangki jentera bomba.
Usaha memadam kebakaran membuahkan hasil apabila api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.10 pagi.
Bagaimanapun, operasi turut diteruskan bagi memastikan tiada lagi mangsa terperangkap selain menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan penyejukan di kawasan kebakaran.
Operasi pemadaman dan penyelamatan kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.19 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada lagi bahaya yang boleh mengancam.
“Seramai 17 anggota termasuk dari BBP Lintas terbabit dalam operasi berkenaan dengan kekuatan aset sebuah jentera Fire and Rescue Tender (FRT), sebuah EMRS serta tiga kenderaan pacuan empat roda,” menurut kenyataan itu.
Operasi turut mendapat bantuan daripada sembilan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiga pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta dua petugas Sabah Electricity.
Ketiga-tiga mangsa yang terkorban diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut, manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.
Kejadian itu menggemparkan penduduk Kampung Darau apabila kebakaran berlaku pada awal pagi ketika kebanyakan penduduk sedang tidur.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
