Pendeposit TH Tidak Perlu Bimbang, Urusan Zakat Dilaksana Ikut Hukum Syarak – Zulkifli

KUALA LUMPUR – Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) tidak perlu bimbang mengenai status pelunasan zakat mereka kerana kewajipan itu telah dilaksanakan dengan sempurna dan berlandaskan hukum syarak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata Jawatankuasa Penasihat Syariah (JPS) TH telah memutuskan bahawa pembayaran zakat bagi pihak pendeposit sebelum konsep wakalah diperkenalkan pada 2019 adalah sah, manakala TH turut melaksanakan kewajipan itu selaras dengan ketetapan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

“Jawatankuasa Penasihat Syariah (JPS) TH dalam mesyuaratnya pada 2 Sept 2020 berpandangan bahawa status pembayaran zakat bagi pendeposit pada tahun-tahun sebelum konsep wakalah diperkenalkan pada 2019 adalah sah dan mematuhi hukum syarak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan penerangan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH di Parlimen hari ini.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Menurut Zulkifli, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 3 Mei 1979 turut menetapkan bahawa TH ialah institusi yang tidak wajib zakat ke atasnya, namun berkewajipan membayar zakat bagi pihak pendeposit.

Katanya, TH juga telah menunaikan kewajipan tersebut secara konsisten selaras dengan ketetapan berkenaan.

Berhubung pembayaran zakat bagi tahun-tahun semasa kontrak Wadiah Yad Damanah digunakan dari tempoh 2016 hingga 2019, beliau berkata zakat yang dikeluarkan adalah zakat perniagaan (secara khultah) bagi pihak pendeposit ke atas kumpulan wang pendeposit yang diniagakan.

Mengulas syor RCI supaya perkara berkaitan amalan zakat TH dibawa kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), Zulkifli berkata perkara itu telah dibentangkan dan diperakui jawatankuasa berkenaan pada Jun 2024.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Beliau berkata pandangan Jawatankuasa Muzakarah kemudiannya telah disembah maklum kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-267 pada Oktober 2024.

“Oleh itu, para pendeposit tidak perlu bimbang kerana semua urusan pelunasan zakat anda telah dilaksanakan TH secara tertib dan berlandaskan hukum syarak.

“Keseluruhan operasi dan tadbir urus zakat TH adalah berpandukan Garis Panduan Zakat yang telah diluluskan dan dipantau JPS TH yang dianggotai pakar-pakar Syariah dan kewangan Islam,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata TH mengambil maklum syor RCI berkaitan perubahan dasar dari aspek pengurusan haji terutamanya kelayakan haji dan tempoh menunggu giliran.

Justeru, Zulkifli berkata TH kini berada pada peringkat akhir memperhalusi penambahbaikan polisi pengurusan haji sebelum ia diumumkan dalam masa terdekat.

Katanya, penambahbaikan akan melibatkan pelan menunaikan haji yang lebih jelas, terancang dan sistematik sejajar dengan konsep istito’ah atau kemampuan dan penekanan kepada kesiapsiagaan awal.

Mesyuarat khas itu diadakan bagi mendengar penerangan menteri mengenai Laporan RCI TH serta usaha dan tindakan yang diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi berkenaan.

Kerajaan telah mengumumkan penubuhan RCI pada 2021, diikuti pelantikan ahli-ahli RCI pada 20 Januari 2022, yang menyaksikan laporan RCI kemudiannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022.

Pada 29 Julai, laporan RCI setebal 211 halaman didedahkan kepada umum, yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas. – BERNAMA

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *