JOHOR BAHRU – Dua kanak-kanak lelaki yang ditemukan lemas di kawasan empangan di Jalan Murai 2, Taman Scientex, Pasir Gudang di sini awal pagi tadi, baru sahaja tiga hari mengenali antara satu sama lain.
Walaupun mangsa Mohammad Haikal Ramzi, 12, dan Muhammad Adam Faris Arman, 11, tinggal di kawasan perumahan yang sama, namun masing-masing bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok dan SK Kota Puteri 4, Pasir Gudang yang jarak antara sekolah mereka lebih kurang 18 kilometer.
Mohamad Khairudi Setapa, 42, berkata beliau sama sekali tidak menyangka perkenalan singkat anaknya Mohammad Haikal dengan Muhammad Adam Faris, berakhir dengan pemergian serentak yang meruntun hati keluarga.
Beliau berkata anaknya merupakan seorang yang berkeperibadian baik dan mesra, justeru hubungan kedua-dua mangsa mudah akrab walaupun baru sahaja saling mengenali.
“Saya tidak sangka dia pergi secepat ini, tetapi saya reda, arwah diberi pinjaman oleh Allah untuk saya jaga selama 12 tahun, dia anak ‘abah’ dunia akhirat,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang, di sini hari ini.
Beliau berkata pemergian anak keduanya itu turut meninggalkan kesan, apabila hajat terakhir untuk memiliki koleksi permainan robot tidak kesampaian.
“Arwah memang minat mengumpul koleksi mainan robot dan kerap meminta saya beli setiap kali menjelang gaji, namun kali ini hajatnya tidak kesampaian,” katanya yang bekerja di sebuah kilang, di sini.
Mohamad Khairudi memiliki tiga anak dan berasal dari Pasir Puteh, Kelantan berkata kebiasaanya, Mohammad Haikal Ramzi keluar bermain pada waktu petang dan akan pulang ke rumah sebelum waktu Maghrib.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Bagaimanapun, beliau berasa cemas apabila anaknya tidak pulang, meskipun hari semakin gelap seterusnya mendorongnya mencari dengan bertanyakan rakan-rakan di sekitar kawasan perumahan, sebelum membuat laporan polis pada kira-kira 9 malam.
“Rakan-rakannya memaklumkan kali terakhir melihat mereka di kawasan empangan berkenaan. Petunjuk pertama apabila kami menjumpai basikal milik arwah di empangan itu,” katanya.
Mengenai tragedi itu, beliau percaya keadaan dasar empangan yang berselut tebal, menjadi antara punca kedua-dua mangsa terperangkap dan gagal menyelamatkan diri.
“Kalau kedalaman dua meter saya yakin anak saya masih boleh menyelamatkan diri namun, saya difahamkan kawasan empangan itu berselut tebal, mungkin keadaan itu menyukarkan pergerakannya,” katanya.
Suasana pilu menyelubungi perkarangan jabatan forensik ketika kedua-dua keluarga mangsa menunggu proses bedah siasat.
Bagaimanapun, keluarga mangsa Muhammad Adam Faris Arman enggan ditemu bual.
Komander Operasi Kanan TPgB II Firdaus Ahmad berkata mangsa pertama berusia 12 tahun ditemukan pada 2.12 pagi di kedalaman air kira-kira dua meter dan tiga meter dari tebing.
“Mangsa kedua berusia 11 tahun pula ditemukan pada 2.33 pagi pada kedalaman kira-kira dua meter dan 15 kaki dari tebing,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
