PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga lagi individu, termasuk seorang timbalan pengurus besar pembinaan, pengurus keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pengarah projek sebuah syarikat hartanah yang merupakan anak syarikat sebuah badan berkanun, kerana disyaki bersubahat menyeleweng caj notis penalti (NOP) berjumlah kira-kira RM450,000.
Perintah reman selama lima hari hingga 9 Ogos terhadap ketiga-tiga suspek lelaki berumur lingkungan 50-an itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Menurut sumber SPRM, kesemua suspek ditahan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira 6 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara 2017 hingga 2019,” menurut kenyataan itu.
Sumber SPRM memaklumkan tahanan reman itu susulan daripada siasatan oleh pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 29 Julai lepas.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
