Kurus Belum Tentu Sihat: Skinny Fat dan Bahaya Lemak Viseral yang Ramai Tidak Sedar

Oleh: Dr. Nur Nabilah Abu Bakar, Dr. Muhammad Faiz Mohd Fauad dan Dr. Sharifah Najwa Syed Mohamad

APABILA melihat seseorang yang bertubuh langsing, kebanyakkan kita akan mengganggap individu tersebut sihat. Namun, hakikatnya tidak semua orang yang kurus bebas daripada risiko penyakit.

Dalam bidang perubatan, terdapat keadaan yang dikenali sebagai ”skinny fat” atau normal-weight obesity, iaitu individu yang mempunyai berat badan normal, tetapi menyimpan lemak berlebihan di bahagian abdomen, khususnya di sekeliling organ dalaman.

Lemak ini dikenali sebagai lemak viseral, iaitu lemak yang berada jauh di dalam rongga abdomen dan mengelilingi organ penting seperti hati, pankreas, buah pinggang dan usus. Berbeza dengan lemak subkutaneus yang terletak di bawah kulit, lemak viseral tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi memberi kesan yang jauh lebih besar terhadap kesihatan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Lemak yang Tersembunyi di Sekeliling Organ

Dari sudut anatomi, lemak viseral ialah tisu adipos yang tersimpan di dalam rongga abdomen dan memenuhi ruang di antara organ-organ penting seperti hati, pankreas, buah pinggang, perut,usus dan lain-lain.

Dalam keadaan normal, lapisan lemak ini berfungsi sebagai kusyen yang melindungi organ daripada hentakan dan tekanan luar serta membantu mengekalkan kedudukannya di dalam rongga abdomen.

Namun, apabila jumlahnya meningkat secara berlebihan, ruang yang dahulunya seimbang menjadi semakin padat dengan pengumpulan lemak. Organ-organ yang berada berdekatan bukan sahaja dikelilingi oleh lemak yang lebih tebal, malah sebahagiannya turut mengalami pengumpulan lemak di dalam tisu organ itu sendiri, sekali gus mengubah struktur anatomi asalnya.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Sebagai contoh, perubahan yang dapat berlaku kepada organ hati. Hati yang normal mempunyai permukaan licin, tekstur yang lembut dan warna merah keperangan. Namun, apabila lemak mula berkumpul di dalam sel-sel hati, organ tersebut menjadi lebih besar, berwarna kekuningan dan dikenali sebagai fatty liver atau hati berlemak.

Pembesaran hati secara patologi ini boleh mengubah hubungan organ ini dengan struktur sekeliling secara anatomi. Malah, jika berlarutan, keadaan ini  berpotensi menyebabkan kerosakan kekal seperti fibrosis dan sirosis yang mengubah seni bina normal hati secara kronik.

Keadaan yang sama juga boleh berlaku pada organ lain seperti pankreas, di mana pengumpulan lemak di dalam dan di sekeliling organ menyebabkan perubahan pada morfologi normalnya.

Oleh itu, dari perspektif anatomi, lemak viseral bukan sekadar simpanan tenaga, tetapi merupakan faktor yang mampu mengubah struktur fizikal organ-organ penting tanpa disedari oleh individu yang kelihatan kurus dari luaran.

Lemak Bukan Sekadar Simpanan Tenaga

Ramai beranggapan lemak hanyalah tempat menyimpan kalori. Hakikatnya, fisiologi moden membuktikan tisu adipos ialah organ endokrin yang aktif. Lemak viseral menghasilkan pelbagai hormon dan bahan kimia yang dipanggil adipokin, antaranya leptin dan adiponektin.

Dalam keadaan sihat, hormon-hormon ini membantu mengawal selera makan, metabolisme tenaga dan sensitiviti insulin. Namun, apabila lemak viseral bertambah, keseimbangan ini terganggu.

Penghasilan sitokin prokeradangan meningkat, manakala hormon adiponektin yang melindungi tubuh daripada rintangan insulin berkurangan. Akibatnya, sel-sel badan menjadi kurang responsif terhadap insulin, menyebabkan pankreas terpaksa menghasilkan lebih banyak insulin untuk mengekalkan paras glukosa darah.

Lama-kelamaan, keadaan ini membawa kepada rintangan insulin, diabetes mellitus jenis 2, tekanan darah tinggi, penyakit hati berlemak, dislipidemia dan penyakit kardiovaskular.

Lebih membimbangkan, asid lemak bebas daripada lemak viseral dihantar terus ke hati melalui sistem vena portal, menyebabkan hati menghasilkan lebih banyak glukosa melalui proses glukoneogenesis serta meningkatkan pengahasilan trigliserida dan Very Low Density Lipoprotein (VLDL) atau dalam bahasa melayu dikenali sebagai Lipoprotein Ketumpatan Amat Rendah.

Ia berfungsi mengankut trigliserida ke seluruh tisu badan dan tahap yang tinggi boleh menyebabkan hypertrigliseridemia dan menyumbang kepada pembentukan plak kepada salur darah dan meningkatkan risiko sakit jantung.

Akibatnya, seseorang yang kelihatan kurus masih boleh mengalami sindrom metabolik walaupun berat badannya berada dalam julat normal dan mengundang pelbagai penyakit.

Mengapa Orang Kurus Masih Boleh Berlemak?

Keadaan ini lazim berlaku akibat gaya hidup moden. Kurang aktiviti fizikal menyebabkan jisim otot berkurangan, sedangkan otot merupakan pengguna utama glukosa dalam badan. Pada masa yang sama, pengambilan makanan ultra-proses, minuman bergula, tidur yang tidak mencukupi serta tekanan kronik meningkatkan hormon kortisol yang menggalakkan penyimpanan lemak di bahagian abdomen.

Oleh sebab itu, angka pada penimbang berat badan tidak semestinya menggambarkan tahap kesihatan seseorang. Terdapat beberapa cara untuk anda mengetahui jumlah lemak viseral yang terdapat di dalam badan. Antaranya, adalah dengan menggunakan mesin penimbang yang mempunyai fungsi mengukur lemak viseral di samping mengukur peratus lemak keseluruhan di dalam badan dan juga jisim otot.

Kebanyakan klinik perubatan yang mempunyai servis untuk membantu menurunkan berat badan badan berlebihan ataupun obesiti, menggunakan mesin ini sebagai panduan dalam proses penurunan berat badan berlebihan.

Walaupun bacaan yang terdapat pada mesin itu adalah sebagai satu anggaran, namun ia boleh menjadi panduan yang bermakna. Anda perlulah mendapatkan nasihat daripada doktor yang bertauliah untuk mengetahui proses ini dengan lebih lanjut.

Perspektif Naqli: Islam Menekankan Kesederhanaan.

Islam telah mengajar prinsip pemakanan yang seimbang dan menghindari sikap berlebihan, sejak lebih 1,400 tahun lalu.

Allah SWT berfirman:

”.. Makan dan minumlah, tetapi janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesunguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” – Surah al-A’raf, ayat 31

Ayat ini bukan sekadar menyeru kepada adab makan, malah mempunyai hikmah kesihatan yang sangat besar. Pengambilan makanan secara berlebihan menyebabkan lebihan tenaga disimpan sebagai lemak, termasuk lemak viseral yang meningkatkan risiko pelbagai penyakit kronik.

Rasulullah SAW juga bersabda:

”Tidak ada bekas yang dipenuhi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya. Cukupah bagi anak Adam beberapa suapan untuk menegakkan tulang belakangnya. Jika tidak dapat dielakkan, maka sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk pernafasan.” – (Riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini selari dengan pengetahuan fisiologi moden. Pengambilan makanan dalam kuantiti yang sederhana membantu mengawal rembesan hormon seperti insulin dan leptin serta mengurangkan kecenderungan badan menyimpan lemak berlebihan.

Aqli: Sains Mengukuhkan Hikmah Wahyu

Pendekatan aqli melalui kajian saintifik menunjukkan bahawa senaman berkala, pemakanan seimbang dan tidur yang mencukupi dapat mengurangkan lemak viseral dengan ketara. Menariknya, semua amalan ini turut digalakkan dalam Islam melalui konsep menjaga kesihatan sebagai sebahagian daripada maqasid syariah, iaitu memelihara nyawa (hifz-al-nafs).

Kesimpulan

Kesihatan tidak boleh dinilai berdasarkan bentuk tubuh semata-mata. Seseorang yang kelihatan kurus masih boleh menyimpan lemak viseral yang meningkatkan risiko diabetes, penyakit jantung dan gangguan metabolik.

Justeru, selain memantau berat badan, masyarakat perlu memberi perhatian kepada komposisi badan, ukuran lilitan pinggang, aktiviti fizikal, pemakanan dan gaya hidup. Islam mengingatkan bahawa setiap individu bertanggungjawab memelihara kesihatan diri.

Mengamalkan gaya hidup sihat dan mencegah penyakit adalah sebahagian daripada usaha menghargai nikmat tubuh yang telah diamanahkan oleh Allah SWT. Dengan menggabungkan bukti saintifik (aqli) dan petunjuk wahyu (naqli), kita dapat memahami bahawa menjaga kesihatan bukar sekadar pilihan, tetapi juga satu ibadah.

Penulis, Dr. Nur Nabilah Abu Bakar, Pensyarah Fisiologi Jabatan Sains Perubatan I, Unit Fisiologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); Dr. Muhammad Faiz Mohd Fauad, Pensyarah Perubatan Jabatan Sains Perubatan I, Unit Anatomi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM; dan Dr. Sharifah Najwa Syed Mohamad, Pensyarah Perubatan Jabatan Penjagaan Kesihatan Primer, Unit Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM serta Pakar Perubatan Keluarga & Pengarah Perubatan Klinik Pakar Kesihatan USIM, USIM Healthcare Sdn. Bhd.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *