KUALA LUMPUR – DAP akan menyerahkan kepada hampir 4,000 perwakilannya untuk menentukan sama ada parti itu akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan atau mengambil haluan berbeza menerusi Persidangan Kebangsaan DAP yang dijadual berlangsung 16 Ogos ini.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, keputusan berhubung kedudukan parti dalam kerajaan tidak akan ditentukan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), sebaliknya diputuskan secara demokratik oleh perwakilan menerusi satu usul yang akan dibentangkan pada persidangan itu.
Menurut beliau, kepimpinan pusat mengambil pendirian untuk menyerahkan sepenuhnya keputusan itu kepada kebijaksanaan perwakilan sebagai badan pembuat keputusan tertinggi parti.
“Keputusan itu tidak dibuat oleh CEC. Kita akan membentangkan satu usul kepada persidangan dan menyerahkan kepada kebijaksanaan hampir 4,000 perwakilan untuk membuat keputusan.
“Mereka akan menentukan sama ada DAP harus terus kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal pentadbiran ini ataupun mengambil pendirian sebaliknya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat CEC di ibu pejabat parti, di sini, semalam.
Anthony berkata, persidangan kali ini disifatkan sebagai antara yang paling penting dalam sejarah parti kerana bakal menentukan hala tuju politik DAP bagi tempoh mendatang.
Katanya, sebarang keputusan mengenai penyertaan DAP dalam kerajaan perlu dibuat secara kolektif, sekali gus mencerminkan kehendak akar umbi dan bukannya diputuskan oleh kelompok kepimpinan semata-mata.
“Hala tuju parti mesti diputuskan secara kolektif oleh para perwakilan. Selepas 16 Ogos nanti, kita akan berpandukan keputusan yang mereka buat.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Ketika itu barulah jelas sama ada mereka mahu DAP terus berada dalam kerajaan dan berjuang dari dalam pentadbiran, ataupun memilih untuk berada di luar kerajaan,” katanya.
Menurut Anthony, sehingga keputusan rasmi dibuat oleh persidangan, DAP akan terus memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan di Parlimen seperti yang dipersetujui sebelum ini.
Beliau berkata, proses yang bakal berlangsung itu boleh dianggap sebagai satu bentuk “referendum dalaman” yang memberi peluang kepada seluruh perwakilan menentukan masa depan parti dalam landskap politik negara.
Pada Februari lalu, Anthony memaklumkan, DAP akan mengadakan satu persidangan khas bagi membolehkan para perwakilan membuat keputusan mengenai kedudukan parti dalam kerajaan, sambil menegaskan sebarang pendirian yang diambil kelak adalah berdasarkan mandat akar umbi.
Persidangan Kebangsaan DAP itu pada asalnya dijadual berlangsung pada 12 Julai, namun ditangguhkan ke 16 Ogos susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada kempen dan proses Pilihan Raya Negeri (PRN).
Keputusan yang bakal dibuat pada persidangan itu dijangka menjadi penentu kepada hala tuju DAP dalam Kerajaan Perpaduan, selain memberi gambaran jelas mengenai strategi politik parti menjelang fasa seterusnya pentadbiran negara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
