KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan susulan kekalahannya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu lalu.
Katanya, beliau membuat keputusan itu atas pertimbangan peribadi sebagai mengambil tanggungjawab politik terhadap keputusan pilihan raya, sekali gus membuka ruang kepada kepimpinan baharu menerajui DAP Negeri Sembilan.
Menurut beliau, tiada sebarang tekanan daripada mana-mana pihak yang mendorong keputusan itu.
“Sudah tiba masanya untuk saya berundur sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan dan menyerahkan kepada kepimpinan negeri untuk memilih pengerusi baharu dari kalangan Ahli Jawatankuasa Negeri yang ada,” katanya.
Kata Anthony, beliau telah menerajui DAP Negeri Sembilan selama 22 tahun dan akan melepaskan jawatan itu secara rasmi selepas Mesyuarat Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan yang dijadual minggu ini.
Katanya, pelantikan pengerusi baharu tidak memerlukan pemilihan semula kerana ia boleh diputuskan oleh Ahli Jawatankuasa Negeri mengikut perlembagaan parti.
“Saya akan memanggil mesyuarat dalam beberapa hari lagi bagi membolehkan jawatankuasa negeri dirombak semula dan seterusnya memilih seorang pemimpin baharu untuk mengetuai DAP Negeri Sembilan,” katanya.
Pengumuman Anthony dibuat sehari selepas Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan menyatakan sokongan dan solidariti penuh supaya beliau terus kekal menerajui parti di peringkat negeri.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin sebelum ini menyifatkan Anthony antara pemimpin yang banyak menyumbang kepada pembangunan dan pengukuhan parti di negeri itu sepanjang lebih dua dekad memegang jawatan pengerusi.
Bagaimanapun, Anthony memilih untuk berundur selepas gagal mempertahankan kerusi DUN Chennah yang disandangnya selama tiga penggal.
Dalam PRN kali ini, beliau tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) dari MCA, Siow Kong Choon dengan majoriti 688 undi daripada keseluruhan 10,918 undi yang diperoleh.
Anthony mula mewakili DUN Chennah selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 sebelum mempertahankannya pada PRU 2018 dan PRN Negeri Sembilan 2023.
Sebelum itu, beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak selama dua penggal selepas memenangi kerusi berkenaan pada PRU 2004 dan 2008.
Di peringkat Persekutuan, Anthony mula dipilih sebagai Ahli Parlimen Rasah pada PRU 2008 sebelum berpindah ke kerusi Parlimen Seremban sejak PRU 2013 dan kekal memegang kerusi berkenaan sehingga kini.
Sepanjang tempoh kepimpinan Anthony, DAP terus mengekalkan pengaruhnya sebagai parti dominan dalam Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan dengan menguasai beberapa kerusi tradisi termasuk Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Seremban Jaya, Mambau, Lukut, Nilai, Bahau dan Repah.
Di peringkat Parlimen pula, DAP secara konsisten mempertahankan dua kubu kuatnya di Negeri Sembilan iaitu Seremban dan Rasah, sekali gus menjadikan negeri itu antara pangkalan utama parti berkenaan di Semenanjung Malaysia.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
