Glasgow 2026: Mengimbau Kegemilangan SUKOM ’98

Oleh Profesor Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin

TIRAI Sukan Komanwel Glasgow 2026 akhirnya dilabuhkan pada 3 Ogos dengan India diumumkan sebagai tuan rumah pada edisi 2030. Malaysia menamatkan kempennya pada kedudukan ke-10 dengan kutipan lapan pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.

Malah satu pencapaian bersejarah yang membanggakan apabila skuad angkat berat lelaki negara dinobatkan sebagai pasukan terbaik Komanwel menerusi penganugerahan Trofi Trafalgar buat kali pertama.

Malaysia menerima penghormatan itu daripada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) selepas mengungguli acara angkat berat kategori lelaki dengan meraih lima pingat emas.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Penyumbangnya ialah Mohamad Aniq Kasdan dalam kategori 60 kilogram (kg), Muhamad Aznil Bidin (65kg), Muhammad Erry Hidayat (79kg), Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg) dan Mohamad Syahmi Nor Ghazali (94kg).

Trofi berprestij tersebut diperkenalkan pada 1978 semasa Sukan Komanwel Ke-11 di Edmonton, Kanada yang dianugerahkan kepada pasukan angkat berat lelaki terbaik pada setiap edisi sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian keseluruhan acara itu.

Penerusan legasi keluarga

Seperkara yang menarik perhatian ialah kejayaan Muhammad Erry Hidayat meraih pingat emas dalam kategori 79kg. Di sebalik kejayaan tersebut, terselit satu kisah yang lebih bermakna, iaitu kesinambungan legasi keluarga yang merentasi dua generasi atlet negara.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Benarlah pepatah Melayu mengatakan, “Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. Hal ini kerana bakat dan kejayaan yang dimiliki Muhammad Erry hasil jejak langkah bapa beliau yang bernama Muhamad Hidayat Hamidon.

Muhamad Hidayat melakar sejarah pada Sukan Komanwel 1998 (SUKOM ‘98) di Kuala Lumpur dengan merangkul pingat emas, juga dalam acara angkat berat.

Malah, kejayaan gemilang pada 17 September 1998 itu menamatkan penantian kemarau pingat emas angkat berat negara di temasya berkenaan. Beliau memenangi kategori 69 kg dan berjaya memecahkan rekod temasya tersebut dengan angkatan seberat 167.5 kg.

Mungkin peminat sukan tidak menduga kejayaan Hidayat ketika itu. Namun kejayaan memenangi pingat emas sangat membanggakan negara. Apatah lagi di peringkat Sukan Komanwel, temasya terpenting selepas Sukan Olimpik dan Sukan Asia.

Pada temasya tersebut, negara berjaya memperolehi 10 pingat Emas, 14 pingat Perak dan 12 pingat Gangsa. Kejayaan tersebut membolehkan Malaysia menduduki tempat keempat dalam senarai pungutan pingat iaitu pencapaian terbaik sejak menyertai temasya tersebut pada abad ke-20.

Wang Komemoratif

Apabila memperkatakan mengenai SUKOM ’98, penulis turut mengimbau satu inisiatif istimewa oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bersama penganjur, Sukom Ninety Eight Berhad, yang menerbitkan wang kertas komemoratif berdenominasi RM50 sempena penganjuran temasya bersejarah tersebut.

Sukan tersebut merupakan salah satu catatan penting dalam sejarah tanah air. Hal ini kerana buat julung kalinya sukan berprestij tersebut diadakan di Asia, malah Malaysia terpilih menjadi tuan rumah untuk kali pertama.

Wang tersebut bukan sahaja sebagai satu koleksi kenang-kenangan malah merupakan cenderamata yang akan mengingatkan kita bahawa Malaysia adalah destinasi sukan bertaraf dunia.

Wang komemoratif ini bersaiz 152 mm panjang dan 76 mm lebar serta lebih besar berbanding wang RM50 yang terdapat dalam edaran dengan ukuran 145 mm panjang dan 65 mm lebar.

Dengan cetakan terhad sebanyak 500,000 keping, wang ini bukan sekadar alat pembayaran, tetapi simbol kebanggaan negara dan warisan numismatik yang bernilai tinggi.

Reka bentuk

Mata wang ini memiliki kilauan semula jadi yang menyerlah, sekali gus memberikan penampilan yang unik dan eksklusif. Berdasarkan penelitian penulis, wang ini mencipta sejarah sebagai wang kertas polimer pertama negara, selain menampilkan reka bentuk yang memaparkan identiti Malaysia.

Motif reka bentuk bahagian depan menggambarkan potret Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad di bahagian kanan. Potret yang sama digunakan pada wang kertas dalam edaran.

Bangunan berlatar langit Kuala Lumpur beserta dengan beberapa mercu tanda utama dilukis di bahagian tengah.  Corak abstrak rama-rama “Look Programme” Sukan Komanwel berserta Alat Variabel Optik (AVO) berwarna kuning keemasan dengan potret SPB Yang di-Pertuan Agong pada tingkap pandang terus kelihatan di bahagian kiri. 

Logo BNM kelihatan pada tingkap pandang telus yang lain di bahagian kanan atas wang tersebut.  Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) digambarkan sebagai latar belakang di bahagian tengah wang berkenaan. 

Di bahagian kanan dipamerkan bayangan pelukis mengenai reka bentuk latar belakang Koridor Raya Multimedia yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Putrajaya, Cyberjaya dan KLIA.

Wang kertas ini ditandatangani oleh Gabenor BNM ketika itu, Tan Sri Dato’ Ahmad Mohd Don yang terletak di bahagian kiri bawah. 

Kelihatan juga tulisan “WANG KERTAS INI SAH DIPERLAKUKAN DENGAN NILAI” di bahagian atas. Manakala nilai RM50 diletakkan di bahagian bawah dan di penjuru kanan bahagian atas. 

Reka bentuk bahagian belakang mempamerkan Stadium Utama Bukit Jalil di tengah-tengah wang tersebut.  Logo SUKOM ‘98 yang jelas kelihatan di bahagian kiri wang berkenaan. Terdapat tulisan “Bank Negara Malaysia” (bahagian kiri) dan “Lima Puluh Ringgit” (bahagian kanan) dalam tulisan Jawi.

Penulis tertarik dengan warnanya yang pelbagai dan amat berbeza dengan wang kertas RM50 yang digunakan di negara ini. Wang komemoratif ini menggunakan beberapa warna iaitu kuning, jingga dan hijau telah menambah kecantikan, malah menyerlahkan lagi keunikannya.

Maklumat BNM menunjukkan terdapat banyak ciri keselamatan pada wang ini termasuk AVO, dua tingkap pandang telus, tulisan huruf mikro intaglio, cetakan pelangi, tanda pandang telus, pola antipenyalin serta pengunaan dakwat limunan berpandarfluor (fluorescing) di bawah cahaya ultraungu.

Kegemilangan negara

Kejayaan Malaysia di Glasgow 2026 membuktikan bahawa kecemerlangan sukan negara terus berkembang hasil usaha berterusan atlet, jurulatih dan semua pihak yang terlibat. Lebih bermakna, kemenangan Muhammad Erry Hidayat menjadi simbol bahawa legasi kecemerlangan mampu diwarisi apabila disokong oleh semangat, disiplin dan pengorbanan yang berterusan.

Dalam masa yang sama, nostalgia terhadap SUKOM ’98 dan penerbitan wang kertas komemoratif RM50 mengingatkan kita bahawa setiap kejayaan sukan bukan sekadar diukur melalui pungutan pingat, tetapi turut meninggalkan warisan yang membentuk identiti dan memori sesebuah negara.

Trofi Trafalgar yang kini menjadi milik Malaysia serta legasi dua generasi atlet angkat berat membuktikan bahawa sejarah kegemilangan negara bukan sahaja wajar dikenang, malah perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang sebagai inspirasi untuk mencipta lebih banyak kejayaan di pentas dunia.

Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin ialah Presiden Persatuan Pendidikan Komunikasi Malaysia (MACE) dan Profesor, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *