PEKAN – Seramai 19 penumpang berdepan detik mencemaskan apabila bas yang mereka naiki terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 77, Jalan Kuantan–Segamat berhampiran Runchang, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, bas yang membawa rombongan dari Kolej Vokasional Muadzam Shah itu dipercayai dalam perjalanan ke sebuah hotel di bandar Kuantan bagi menghadiri satu majlis persaraan sebelum terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati bas berkenaan dipandu oleh seorang lelaki berusia 53 tahun bersama 19 penumpang ketika bergerak dari arah Muadzam Shah ke Kuantan.
Menurut beliau, kejadian bermula apabila sebuah Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun dari arah Gemas, Negeri Sembilan menuju ke Kuantan terpaksa memberhentikan kenderaannya secara mengejut selepas berlaku kesesakan lalu lintas akibat sebatang pokok tumbang menghalang sebahagian jalan.
“Di belakang Proton Saga tersebut ada sebuah jip yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dan sempat menekan brek bagi mengelakkan pelanggaran.
“Bagaimanapun, bas yang datang dari arah sama dipercayai gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang jip tersebut sebelum hilang kawalan, menggelongsor dan terbabas ke bahu kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, impak pelanggaran menyebabkan keadaan di lokasi kejadian menjadi cemas apabila penumpang bas terkejut dengan hentaman kuat yang berlaku secara tiba-tiba. Namun, kesemua penumpang berjaya keluar dengan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pemandu bas mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan telah dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Kesemua penumpang lain disahkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Katanya, polis menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kemalangan, termasuk faktor yang menyebabkan bas gagal berhenti sebelum melanggar kenderaan di hadapannya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa cermat sehingga menyebabkan kemalangan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa memandu secara berhemah, mengekalkan jarak selamat antara kenderaan serta lebih berhati-hati terutama ketika melalui kawasan yang terjejas akibat halangan di jalan raya seperti pokok tumbang atau kesesakan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L