Himpunan solidariti Najib gadai maruah, martabat orang Melayu, kata Mukhriz

Perpaduan Melayu Perlu Berteraskan Integriti, Bukan Sekadar Kerjasama Politik – Mukhriz

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berpandangan, kerjasama elektoral antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan merupakan langkah positif ke arah penyatuan undi Melayu serta meningkatkan peluang untuk menewaskan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, beliau menegaskan, kerjasama politik semata-mata tidak memadai untuk menjamin kestabilan politik yang berkekalan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya tidak disertai dengan pembaharuan dari sudut integriti dan kepimpinan.

Menurut Mukhriz, perpaduan Melayu dan Penyatuan Ummah sememangnya menjadi aspirasi masyarakat Melayu, namun ia perlu dibina di atas asas yang kukuh, berteraskan amanah, keadilan dan kebertanggungjawaban.

Beliau berkata, masih terdapat kegelisahan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda terhadap sebarang penjajaran politik baharu kerana isu integriti yang menurutnya belum diselesaikan sepenuhnya.

Dalam kenyataannya, Mukhriz turut mengaitkan kejatuhan Barisan Nasional pada PRU ke-14 dengan skandal 1MDB serta menyatakan UMNO belum menunjukkan kebertanggungjawaban yang mencukupi terhadap isu tersebut.

Beliau juga mengkritik usaha yang disifatkannya sebagai cubaan mempertahankan atau mendapatkan layanan istimewa bagi pemimpin yang berdepan isu perundangan.

Mengulas mengenai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Mukhriz berpandangan, Presiden UMNO itu wajar melepaskan jawatan politik dan kerajaan yang disandang bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap kebebasan institusi kehakiman terus terpelihara.

Beliau turut menegaskan, sekiranya seseorang itu yakin tidak bersalah, proses mahkamah perlu diberi ruang untuk menentukan kedudukannya tanpa sebarang campur tangan.

Mukhriz turut menyeru UMNO supaya mengakui kelemahan lampau, memohon maaf kepada rakyat serta melaksanakan pembaharuan menyeluruh dengan mengetengahkan kepimpinan yang bersih, berintegriti dan berwibawa sebagai syarat untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat.

Menurut beliau, perpaduan Melayu yang sebenar tidak boleh dibina atas kompromi terhadap prinsip integriti, sebaliknya memerlukan keberanian untuk melakukan pengorbanan demi kepentingan negara dan masa depan bangsa.

Beliau berkata, jika semua pihak sanggup mengutamakan prinsip keadilan dan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu, kerjasama politik yang terjalin bukan sahaja mampu memperkukuhkan perpaduan Melayu, malah menjadi asas kepada perpaduan rakyat yang lebih menyeluruh.

Mukhriz turut mendoakan agar kerjasama elektoral antara PN dan BN dalam PRN Negeri Sembilan menjadi titik permulaan kepada pembentukan perpaduan yang berteraskan nilai murni, sekali gus membawa kestabilan politik dan kelangsungan Malaysia pada masa hadapan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *