MELAKA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menampilkan barisan calon yang mencerminkan pembaharuan kepimpinan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Setiausaha Agungnya Datuk Dr Fuziah Salleh berkata parti itu mempertaruhkan sembilan calon pada kali ini, dengan tujuh orang atau 77.8 peratus merupakan muka baharu, manakala empat daripada adalah golongan anak muda.
Beliau berkata dalam masa yang sama, tiga calon wanita turut diketengahkan bersamaan 33.3 peratus daripada keseluruhan calon parti itu.
“Sejak pengumuman calon, saya telah turun melawat lapan Bilik Gerakan Utama (BGU) Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meninjau persiapan, bertemu petugas serta membantu menyelaraskan gerak kerja jentera.
“Siri lawatan ini akan diteruskan sehingga esok bagi memastikan persiapan di peringkat kawasan berjalan dengan baik,” katanya menerusi hantaran di laman sosialnya di sini hari ini.
Beliau berkata pembaharuan politik bukan sekadar mengetengahkan wajah baharu tetapi membuka ruang kepada generasi pelapis dan wanita untuk memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan serta membawa aspirasi rakyat.
Sabtu lalu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan parti itu akan bertanding di 21 kerusi pada PRN Melaka, bulan depan.
Daripada jumlah itu, PKR akan bertanding di sembilan kerusi manakala DAP (tujuh kerusi) dan Parti Amanah Negara (Amanah)(lima kerusi).
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Antara muka baharu diketengahkan PKR pada kali ini adalah Mohd Yunazri Mustamiri di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Mohd Khuzairie Mohd Kamal Kannan (Rembia), Denesh A/L Palasubraniam (Asahan), Datuk Azman Abidin (Paya Rumput), Muhammad Hakimin Mokhtar (Ayer Molek), Esma Eazreen Husin (Rim) dan Muhammad Faiq Azman (Serkam).
Selain itu, calon wanita pula adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya Datuk Ginie Lim Siew Lin dan Farzana Hayani Mohd Nasir (Kelebang) yang pernah bertanding di DUN Sungai Rambai pada PRN Melaka 2021. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
