Doomscrolling dalam Era Digital: Bagaimana Tabiat Menatal Tanpa Henti Membentuk Tumpuan dan Ingatan Otak

Oleh: Dr. Nur Nabilah Abu Bakar dan Dr. Nadiah Ramlan

HANYA lima minit. Itulah tempoh yang sering kita janjikan kepada diri sendiri apabila membuka media sosial. Namun tanpa disedari, lima minit bertukar menjadi hampir satu jam. Jari terus menatal skrin, video silih berganti, berita datang tanpa henti, sedangkan minda semakin letih.

Fenomena ini dikenali sebagai doomscrolling, iaitu tabiat menatal kandungan digital secara berterusan, khususnya kandungan yang menarik perhatian atau bersifat negatif walaupun pengguna menyedari aktiviti tersebut tidak lagi memberikan manfaat yang bermakna.

Dalam era media sosial yang dipenuhi kandungan pendek, otak sentiasa dibanjiri rangsangan baharu. Dari perspektif neurosains, keadaan ini mengaktifkan sistem ganjaran otak melalui pembebasan dopamin yang meningkatkan motivasi untuk terus mencari maklumat baharu.

Akibatnya, aktiviti menatal menjadi tabiat yang sukar dihentikan kerana setiap kandungan baharu menawarkan jangkaan ganjaran kecil yang berulang.

Pendedahan berterusan kepada kandungan yang berubah setiap beberapa saat turut mempengaruhi keupayaan tumpuan. Bahagian prefrontal cortex yang mengawal perhatian, perancangan dan kawalan diri akan menyesuaikan diri dengan corak rangsangan pantas melalui proses neuroplastisiti.

Kesannya, individu menjadi semakin sukar mengekalkan fokus terhadap aktiviti yang memerlukan perhatian mendalam seperti membaca, menulis, menghadiri kuliah atau menyelesaikan tugasan.

Selain itu, doomscrolling mengganggu proses pembentukan memori. Maklumat baharu perlu diproses dalam memori kerja sebelum disimpan dalam memori jangka panjang oleh hipokampus. Apabila kandungan bertukar terlalu pantas, maklumat terdahulu digantikan sebelum sempat diproses secara mendalam.

Oleh itu, pengguna sering mengingati video yang ditonton beberapa minit lalu tetapi sukar mengingati ilmu yang dipelajari sehari sebelumnya.

Fenomena ini turut memperlihatkan kelemahan amalan multitugasan digital. Apa yang dianggap sebagai keupayaan melakukan banyak tugasan serentak sebenarnya hanyalah pertukaran perhatian (task switching) yang berlaku dengan pantas. Setiap pertukaran meningkatkan beban kognitif, mengurangkan kecekapan mental dan mempercepatkan keletihan.


Walau bagaimanapun, media sosial bukanlah musuh. Apabila digunakan secara berhemah, ia menjadi medium penyebaran ilmu, dakwah dan komunikasi yang berkesan. Cabarannya ialah membina disiplin digital melalui had masa penggunaan, pengurangan notifikasi, amalan digital detox dan pembacaan yang lebih mendalam bagi melatih semula keupayaan fokus.


Dari perspektif Naqli dan Aqli, Islam mengangkat akal sebagai amanah yang perlu dipelihara. Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 36 mengingatkan agar manusia tidak mengikuti sesuatu tanpa ilmu kerana pendengaran, penglihatan dan hati akan dipertanggungjawabkan.

Dalam konteks digital, ayat ini menuntut umat Islam mengurus maklumat dan masa secara bijaksana agar teknologi menjadi wasilah menambah ilmu, bukannya semata-mata untuk menguasai kehidupan.

Kesimpulannya, doomscrolling bukan sekadar tabiat menatal telefon pintar, tetapi fenomena yang mempengaruhi perhatian, memori dan kesejahteraan kognitif. Teknologi akan terus berkembang, namun keupayaan manusia mengawal penggunaannya akan menentukan sama ada ia menjadi sumber ilmu atau punca gangguan.

Memelihara akal, mengurus masa dengan hikmah dan mengimbangi penggunaan teknologi merupakan langkah penting untuk memastikan manfaat digital dapat dinikmati tanpa mengorbankan fungsi otak dan nilai kehidupan.

Dr. Nur Nabilah Binti Abu Bakar, Pensyarah Fisiologi, Jabatan Sains Perubatan I, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Dr. Nadiah Ramlan, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran Dan Sunnah, USIM

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *