Hamzah persoal masa pengumuman kenaikan SARA, gesa rakyat nilai keikhlasan kerajaan

JELEBU – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan masa pengumuman kerajaan untuk menaikkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dibuat ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sedang berlangsung.

Beliau berkata, walaupun mengalu-alukan sebarang penambahan bantuan kepada rakyat, pengundi perlu menilai sendiri sama ada pengumuman tersebut dibuat semata-mata demi kebajikan rakyat atau mempunyai pertimbangan politik memandangkan ia diumumkan ketika tempoh berkempen.

Menurut Hamzah, beliau tidak menolak usaha kerajaan meningkatkan bantuan kepada rakyat, malah menyifatkan sebarang pertambahan bantuan sebagai sesuatu yang wajar disyukuri sekiranya benar-benar memberi manfaat kepada golongan memerlukan.

“Tambahlah kalau dia tambah 100 peratus pun, Alhamdulillah. Kalau dia tambah lagi banyak pun, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana diberikan kepada rakyat.

“Cuma rakyat sedar sikitlah yang diumum itu masa pilihan raya. Orang yang mengumumkan waktu pilihan raya itu maknanya dia terdesak. Apabila kita nak memilih pemimpin, carilah pemimpin yang benar-benar ikhlas, jujur demi kepentingan rakyat yang sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri ceramah umum bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Pertang di Felcra Lakai, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berpandangan bahawa kerajaan yang mempunyai perancangan pentadbiran yang baik sepatutnya merangka dasar kebajikan rakyat secara konsisten sejak awal tempoh pemerintahan, bukannya mengumumkan inisiatif baharu ketika kempen pilihan raya sedang berlangsung.

Menurut beliau, pemimpin yang berfikiran matang dan stabil akan memastikan setiap dasar serta pengumuman dibuat berdasarkan keperluan rakyat dan kemampuan kerajaan, bukannya dipengaruhi pertimbangan politik jangka pendek.

“Orang yang stabil pemikirannya akan pastikan apa yang dilakukan dan diumumkan itu adalah sesuatu yang bertanggungjawab, bukan hanya kehendak politik semata-mata tetapi untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah turut mendakwa pengumuman mengenai kenaikan kadar SARA pada awal tempoh kempen mungkin mencerminkan kebimbangan pihak kerajaan terhadap perkembangan sokongan pengundi menjelang PRN Negeri Sembilan.

Beliau mendakwa kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) semakin mendapat perhatian rakyat, sekali gus memberi keyakinan kepada kedua-dua gabungan tersebut untuk menawarkan alternatif kepada pengundi pada pilihan raya kali ini.

Hamzah turut menyatakan keyakinannya bahawa rakyat Negeri Sembilan kini lebih matang dalam menilai setiap kenyataan dan tindakan pemimpin, termasuk pengumuman yang dibuat sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, pengundi mempunyai kebijaksanaan untuk menentukan sama ada sesuatu pengumuman itu lahir daripada perancangan dasar kerajaan yang telah dirangka lebih awal atau dibuat atas pertimbangan politik semasa.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Ceramah Jelajah Kekal Harapan di Paroi, Seremban mengumumkan kerajaan akan menaikkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam tempoh terdekat sebagai usaha membantu rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.

Anwar berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira maklum balas serta rintihan rakyat, selain memaklumkan kerajaan sedang memperhalusi peningkatan beberapa bentuk bantuan lain yang akan dipertimbangkan dalam penyediaan Belanjawan 2027.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *