EAST RUTHERFORD – Walaupun Perancis sekadar menamatkan kempen di tempat ketiga, kapten mereka, Kylian Mbappe tetap pulang dengan satu lagi pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai pemenang Kasut Emas Piala Dunia 2026 selepas menamatkan kejohanan sebagai penjaring terbanyak.
Penyerang Real Madrid berusia 27 tahun itu mengumpul 10 gol sepanjang kejohanan untuk mengatasi pencabar terdekatnya, kapten Argentina Lionel Messi, yang menutup kempen dengan lapan jaringan selepas gagal menambah koleksi gol dalam aksi final menentang Sepanyol di Stadium New York New Jersey, awal pagi tadi.
Mbappe sekali lagi membuktikan statusnya sebagai antara penyerang paling prolifik dunia apabila mempamerkan ketajaman penyudah yang konsisten sepanjang kejohanan dan mempertahankan reputasinya sebagai mesin gol di pentas terbesar bola sepak dunia.
Tempat ketiga dalam senarai penjaring terbanyak pula dikongsi oleh pemain tengah England, Jude Bellingham dan penyerang Norway, Erling Haaland yang masing-masing menjaringkan tujuh gol.
Kejayaan merangkul Kasut Emas itu bukanlah sesuatu yang baharu bagi Mbappe apabila beliau turut memenangi anugerah sama pada Piala Dunia 2022 di Qatar, ketika Perancis mara ke final sebelum tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Argentina selepas terikat 3-3.
Pada edisi kali ini, Mbappe menutup kempen dengan penuh bergaya apabila meledak dua gol ketika membantu Perancis menewaskan England 6-4 dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Dua jaringan tersebut bukan sahaja memastikan kemenangan Les Bleus, malah membolehkan Mbappe mencipta satu lagi rekod luar biasa apabila muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah Piala Dunia dengan jumlah 22 gol daripada hanya tiga penampilan di pentas kejohanan itu.
Rekod berkenaan menyaksikan beliau mengatasi pencapaian Lionel Messi yang sebelum ini mengumpul 21 gol sepanjang karier Piala Dunianya, sekali gus mengukuhkan kedudukan Mbappe sebagai antara legenda moden bola sepak dunia.
Sejak membuat penampilan sulung pada Piala Dunia 2018 di Rusia, Mbappe terus menampilkan prestasi luar biasa. Beliau membantu Perancis muncul juara dunia pada edisi tersebut, meraih Kasut Emas pada Piala Dunia 2022 dan kini sekali lagi menamatkan kejohanan sebagai penjaring terbanyak pada edisi 2026.
Bagaimanapun, kejayaan peribadi itu tidak mampu mengubati kekecewaan Mbappe selepas Perancis gagal mempertahankan tempat di pentas final.
“Saya lebih rela tidak menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman jika dapat beraksi dalam perlawanan akhir esok (hari ini),” kata Mbappe.
Kenyataan itu menggambarkan betapa trofi Piala Dunia kekal menjadi keutamaan buat pemain yang sudah melepasi angka 100 penampilan antarabangsa bersama skuad Perancis itu.
Walaupun hanya menamatkan saingan di tempat ketiga, Mbappe tetap meninggalkan Piala Dunia 2026 dengan reputasi yang semakin gah apabila bukan sahaja meraih Kasut Emas buat kali kedua berturut-turut, malah mengukir sejarah sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan paling berprestij dunia itu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L