PSKT Kekal Relevan Sebagai Hab Sains Pantai Timur

KUALA TERENGGANU – Bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terus menjadi tunjang pembangunan negara meskipun dunia kini menyaksikan lonjakan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) yang merentasi sempadan, termasuk ke kawasan luar bandar dengan capaian internet yang masih terhad.

Seiring perkembangan tersebut, Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) kekal memainkan peranan signifikan sebagai hab pendidikan sains di Pantai Timur apabila memasuki tahun ke-21 operasi sejak 2005, dengan komitmen berterusan merapatkan jurang akses kepada komuniti setempat dan masyarakat luar bandar.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, peranan PSKT selari dengan usaha memperkukuhkan kerangka serta hala tuju Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN), khususnya dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 dan era AI.

“PSKT tetap kekal relevan untuk Terengganu memperkukuhkan kerangka & hala tuju Dasar Sains, Teknologi, Inovasi Negara(DSTIN) sekaligus untuk melengkapkan Revolusi Industri 4.0 dan gelombang era kecerdaaan buatan(AI) ketika ini.

“PSKT tidak hanya memberi peluang dan ruang kepada penduduk mahupun rakyat di dalam negeri Terengganu malah kepada mana-mana pihak dari lain-lain negeri di mana ianya satu-satunya fasiliti pusat sains khususnya di Pantai Timur.

“Sudah tentu Terengganu sentiasa komited menyokong hala tuju PSKT mahupun mana-mana pihak sebagai usaha untuk memperkasakan generasi seterusnya yang akan membangunkan negara, ” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur di sini.

Beliau menambah, kewujudan fasiliti pusat sains tersebut memberi nilai tambah kepada generasi muda untuk mendekati serta merasai sendiri pengalaman dalam bidang STEM.

PSKT sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran Minggu Sains Negara Zon Timur untuk tahun keempat berturut-turut, dengan edisi kali ini menampilkan konsep karnival yang menghimpunkan 35 agensi menerusi pelbagai pameran interaktif dan aktiviti sampingan.

Antara tarikan utama ialah program “Nuklear Untuk Rakyat” anjuran Agensi Nuklear Malaysia yang bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan teknologi nuklear serta aplikasinya dalam pelbagai sektor kehidupan.

Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur berlangsung selama tiga hari bermula 18 Julai dan dijadual melabuhkan tirai pada 20 Julai, merupakan inisiatif tahunan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai pemacu utama pembudayaan sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan rakyat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *