EAST RUTHERFORD – Dua pemain pertahanan Argentina, Lisandro Martinez dan Cristian Romero mencuri perhatian apabila tidak berjabat tangan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika majlis penyampaian pingat selepas final Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.
Argentina tewas 0-1 kepada Sepanyol di Stadium MetLife, New Jersey selepas Ferran Torres menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan.
Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino meletakkan Trump sebagai antara tetamu utama majlis penyampaian pingat, malah Presiden AS itu turut diberi penghormatan menyampaikan trofi Piala Dunia kepada kapten Sepanyol, Rodri.
Ketika pemain Argentina menerima pingat naib juara, Lisandro dilihat mengambil pingat daripada Infantino sebelum terus berlalu tanpa berjabat tangan dengan Trump yang berdiri di sebelahnya.
Romero pula berjabat tangan dengan Infantino yang menyampaikan pingat kepadanya, namun pertahanan Tottenham Hotspur itu terus melepasi Trump sebelum berjabat tangan dengan Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum dan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney.
Insiden itu pantas mencuri perhatian penyokong di media sosial, namun tiada sebarang penjelasan diberikan oleh kedua-dua pemain berkenaan mengenai tindakan mereka.
Sementara itu, jurulatih Argentina, Lionel Scaloni tidak dapat menahan sebak ketika sidang media selepas perlawanan sehingga mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya bersama skuad kebangsaan.
Apabila ditanya mengenai masa depannya, Scaloni yang mengemudi Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 serta dua gelaran Copa America mengakui dia memerlukan masa untuk membuat keputusan.
“Saya perlu berfikir kerana saya tidak tahu sama ada mampu melakukan sesuatu yang lebih besar daripada ini.
“Kami perlu berbincang. Mengendalikan pasukan ini adalah impian setiap jurulatih. Kami sudah memberikan segala-galanya hingga saat terakhir, begitu juga pemain dan saya rasa sudah tiba masanya untuk menilai semula keadaan.
“Saya tidak pernah membayangkan akan berada di tahap ini. Untuk meneruskan perjalanan, banyak perkara perlu dipertimbangkan. Paling penting, kami perlu membina semula pasukan kerana kumpulan pemain seperti ini mungkin sukar ditemui lagi. Hati saya benar-benar sedih. Maaf,” katanya. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L