KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Salleh menegaskan pendekatan DAP sering melabel pihak yang mengkritik atau menentang parti itu sebagai “rasis” dilihat semakin tidak berkesan dan gagal mempengaruhi pengundi, khususnya masyarakat Cina.
Menurut beliau, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam membuktikan naratif tersebut tidak lagi diterima bulat-bulat oleh rakyat.
Beliau berkata, beberapa kerusi sebelum ini dimenangi DAP berjaya dirampas semula oleh Barisan Nasional (BN), sekali gus menunjukkan pengundi membuat penilaian berdasarkan prestasi dan realiti semasa, bukannya sentimen atau tuduhan politik.
“Jadi, kepada DAP, ingatlah agenda melabel semua pihak yang tidak sehaluan dengan kamu sebagai rasis sudah tidak lagi berjaya. Pengundi, termasuk masyarakat Cina, semakin bijak menilai dan tidak mudah dipengaruhi dengan propaganda seperti itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, Akmal turut menyentuh kenyataan pemimpin DAP, Nga Kor Ming, yang menurutnya sebelum ini lantang membuat pelbagai janji kepada rakyat.
Beliau menggesa agar segala janji yang pernah diungkapkan itu ditunaikan dan tidak sekadar menjadi retorik politik semasa berkempen.
“Saya juga ingin mengingatkan supaya Kor Ming menunaikan segala janji yang pernah dibuat kepada rakyat. Jangan hanya pandai bercakap ketika berkempen, tetapi gagal melaksanakan apa yang dijanjikan apabila diberi mandat,” katanya.
Akmal secara sinis berkata, perbezaan pandangan dalam politik adalah perkara biasa dan sesiapa sahaja boleh berasa “panas” dengan kritikan yang dilemparkan.
Namun, beliau berharap semua pihak dapat menerima hakikat keputusan rakyat dengan hati terbuka tanpa terlalu emosional.
“Kalau terasa panas itu perkara biasa dalam politik. Tetapi janganlah sampai ‘koyak’. Hormatilah keputusan rakyat dan teruskan berkhidmat dengan matang,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L