KUALA LUMPUR – Keuntungan sebelum cukai EPB Group Bhd. meningkat 45.6 peratus kepada RM3.36 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, berbanding RM2.31 juta pada suku sebelumnya.
Keuntungan selepas cukai penyedia jentera pemprosesan dan pembungkusan makanan itu turut meningkat 17.6 peratus kepada RM2.07 juta daripada RM1.76 juta.
Hasil suku ketiga naik 12 peratus kepada RM27.75 juta daripada RM24.78 juta pada suku kedua, menjadikannya hasil suku tahunan tertinggi kumpulan setakat tahun kewangan 2026.
Margin keuntungan sebelum cukai EPB melebar kepada 12.1 peratus daripada 9.3 peratus, disokong pendapatan lain yang lebih tinggi serta perbelanjaan jualan, pengedaran, pentadbiran dan operasi lain yang lebih rendah.
Syarikat dalam satu kenyataan berkata, keuntungan sebelum cukai meningkat pada setiap suku tahun ini, daripada RM0.67 juta pada suku pertama kepada RM2.31 juta pada suku kedua, sebelum mencecah RM3.36 juta pada suku ketiga.
Perniagaan penyelesaian jentera pemprosesan dan pembungkusan makanan kekal sebagai penyumbang utama, dengan hasil suku ketiga meningkat 14.5 peratus berbanding suku sebelumnya kepada kira-kira RM22.97 juta.
Pertumbuhan segmen itu didorong jualan lebih tinggi kepada pelanggan di Indonesia dan pasaran luar negara lain. Ia merangkumi kira-kira 82.8 peratus daripada jumlah hasil kumpulan bagi suku berkenaan.
Secara keseluruhan, pelanggan luar negara menyumbang RM24.26 juta atau 87.4 peratus daripada hasil suku ketiga EPB, berbanding bahagian 76.7 peratus pada suku sebelumnya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Filipina kekal sebagai pasaran tunggal terbesar kumpulan bagi suku ketiga dengan hasil RM11.53 juta, manakala hasil dari Indonesia meningkat kepada RM8.38 juta daripada RM6.16 juta pada suku kedua.
Bagi tempoh sembilan bulan, Indonesia menjadi pasaran terbesar EPB dengan hasil RM25.72 juta, meningkat 45.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Walaupun prestasi suku terkini bertambah baik, hasil terkumpul sembilan bulan EPB menurun 16.6 peratus berbanding setahun lalu kepada RM73.63 juta.
Keuntungan sebelum cukai bagi tempoh itu berjumlah RM6.33 juta, berbanding RM12.04 juta sebelumnya.
Keuntungan selepas cukai sembilan bulan juga berkurang kepada RM4.34 juta daripada RM8.91 juta, terutama mencerminkan penghantaran penyelesaian jentera yang lebih rendah sepanjang tempoh berkenaan.
Pengarah Urusan EPB Group, Yeoh Chee Min berkata, lebih banyak projek jentera mencapai peringkat penghantaran dan pengebilan, sementara perniagaan kumpulan di Indonesia menunjukkan perkembangan kukuh.
“Tumpuan segera kami kekal pada penyampaian buku pesanan terjamin kami mengikut jadual,” kata Chee Min dalam kenyataan itu.
Setakat 31 Oktober 2026, buku pesanan EPB berjumlah RM87.08 juta, dengan RM52.06 juta dijangka dipenuhi dan dibilkan secara berperingkat pada suku terakhir tahun kewangan ini.
Kumpulan turut membangunkan kemudahan pembuatan baharu di Penang Science Park North bagi meningkatkan kapasiti melaksanakan projek mulai 2027.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
