KUALA LUMPUR – Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM5.19 juta bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9B TK2026), disokong prestasi lebih baik segmen pembinaan dan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
Kumpulan pakar pembinaan dan EPCC itu turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM6.03 juta daripada hasil keseluruhan RM129.64 juta dalam tempoh berkenaan.
Katanya, keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat pula berjumlah RM5.07 juta, bersamaan pendapatan sesaham sebanyak 0.68 sen.
Prestasi itu mencerminkan pemulihan operasi teras kumpulan susulan langkah penjajaran semula strategik perniagaan, khususnya dalam memperkukuh aktiviti pembinaan dan EPCC.
“Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (S3 TK2026), SCIB merekodkan hasil RM21.92 juta, namun mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM1.73 juta dan kerugian selepas cukai (LAT) RM1.56 juta.
“Daripada jumlah itu, operasi berterusan menyumbang kerugian selepas cukai RM1.44 juta, manakala operasi pembuatan yang dihentikan mencatatkan kerugian RM120,000 susulan pelarasan penyatuan berkaitan transaksi antara syarikat sebelum pelupusan,”
Bagaimanapun, segmen pembinaan dan EPCC menunjukkan pemulihan ketara apabila hasil meningkat 116.7 peratus kepada RM24.02 juta berbanding RM11.09 juta pada suku kedua TK2026.
Segmen berkenaan turut kembali mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM7.17 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM8.72 juta pada suku sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Michael Tan Thian Zhi berkata, prestasi lebih baik segmen pembinaan dan EPCC mencerminkan kemajuan dalam memperkukuh perniagaan teras kumpulan susulan penjajaran semula strategik.
“Keutamaan kami adalah menterjemahkan saluran projek yang diperbaharui kepada pendapatan berulang yang mampan menerusi pelaksanaan projek secara berdisiplin, pengurusan kos berkesan dan peningkatan kecekapan operasi,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan terus melihat peluang dalam sektor pembinaan dan infrastruktur, khususnya di Sabah dan Sarawak, selain meneroka inisiatif pembangunan hartanah terpilih bagi meluaskan asas hasil dan keuntungan.
Menurutnya, SCIB akan kekal selektif dalam memilih projek dengan memberi penekanan kepada daya maju komersial, terma kontrak yang kukuh serta keperluan pembiayaan yang boleh diurus bagi memastikan pertumbuhan mampan.
Dalam perkembangan berkaitan, SCIB memperoleh empat kontrak projek pembinaan di Sabah sejak April 2026 dengan nilai kontrak gabungan kira-kira RM90.28 juta.
“Kontrak berkenaan merangkumi kerja-kerja di SMK Balaban Jaya, Beluran; Universiti Malaysia Sabah; Sekolah Kebangsaan Kaingaran, Tambunan; serta pembinaan blok asrama pelajar di Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau.
“Projek itu dijangka menyumbang kepada aktiviti pembinaan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan kontrak masing-masing,” katanya.
SCIB turut mengumumkan pelantikan Wi Kim Swee sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif ketika kumpulan meneruskan usaha memperkukuh operasi teras dan meneroka peluang perniagaan baharu.
Wi merupakan pemegang saham utama syarikat dengan pegangan sebanyak 70.81 juta saham biasa, bersamaan 9.27 peratus kepentingan dalam SCIB.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
