Kemenangan Mahkota daripada momentum Nenggiri

PRN Johor Buktikan Pengundi Tolak Politik Fitnah, Pilih Prestasi dan Kestabilan – Ahmad Jazlan

KOTA BHARU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai satu pengajaran besar kepada seluruh landskap politik negara apabila pengundi memilih untuk memberikan mandat kepada parti yang dilihat mampu menawarkan prestasi, kestabilan dan pentadbiran diyakini.

Beliau berkata, keputusan dibuat rakyat Johor membuktikan pengundi kini semakin matang dalam menilai sesebuah parti politik dan tidak lagi mudah dipengaruhi dengan kempen bersifat provokatif atau berasaskan persepsi semata-mata.

“Alhamdulillah, PRN Johor telah pun melabuhkan tirainya. Rakyat Johor telah membuat pilihan kepada siapa yang mereka percaya untuk mentadbir kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Banyak ibrah dan pengajaran boleh diambil daripada keputusan pilihan raya kali ini. Pengundi jelas memberikan isyarat mereka menolak kempen bersifat menghasut dan memfitnah. Sebaliknya, mereka lebih melihat kepada prestasi berbanding sensasi politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Jazlan, keputusan tersebut bukan sekadar kemenangan kepada BN, malah mencerminkan kematangan rakyat dalam membuat pertimbangan berdasarkan rekod pentadbiran, keupayaan memimpin dan agenda pembangunan yang ditawarkan.

Beliau berpandangan mesej dihantar rakyat Johor wajar dijadikan renungan oleh semua parti politik, khususnya dalam menentukan pendekatan berkempen pada masa hadapan.

Katanya, politik dipenuhi serangan peribadi, tuduhan tidak berasas dan retorik melampau semakin kurang mendapat tempat dalam kalangan pengundi yang mahukan penyelesaian kepada isu kehidupan harian mereka.

“Rakyat mahu melihat parti yang mampu mentadbir, membangunkan ekonomi, menjaga kebajikan serta menawarkan kestabilan politik, bukannya terus terperangkap dalam polemik yang tidak membawa manfaat kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera BN dari seluruh negara yang telah bertungkus-lumus membantu sepanjang kempen PRN Johor, termasuk jentera dari Kelantan yang sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan demi memastikan kemenangan calon-calon BN.

Beliau berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh petugas parti di semua peringkat menjadi antara faktor penting yang membantu memperkukuhkan gerak kerja kempen sehingga berjaya memperoleh sokongan majoriti pengundi.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jentera Barisan Nasional dari seluruh negara, khususnya jentera BN Kelantan yang telah berkorban masa, tenaga dan harta bagi membantu kempen calon-calon kita di Johor.

“Semangat kebersamaan yang dipamerkan sepanjang tempoh kempen membuktikan kekuatan BN bukan hanya bergantung kepada kepimpinan, tetapi juga kepada kesetiaan dan pengorbanan ahli-ahlinya di peringkat akar umbi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong BN agar tidak terlalu leka dengan kemenangan besar yang diraih.

Menurut Ahmad Jazlan, kemenangan dalam pilihan raya bukan alasan untuk bersikap angkuh atau berasa selesa, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada amanah yang lebih besar untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *