KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melepaskan jawatan sekiranya ingin mempertahankan prinsip serta integriti diri, parti dan Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, tindakan meletakkan jawatan tidak seharusnya disertai dengan pelbagai alasan atau penjelasan berpanjangan, sebaliknya perlu dilakukan secara tegas sekiranya seseorang pemimpin benar-benar berpegang kepada prinsip diperjuangkan.
“Saya mahu menasihatkan Nga Kor Ming supaya segera meletakkan jawatan sebagai Menteri KPKT. Jangan beri terlalu banyak alasan. Jagalah integriti diri, parti dan juga Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan.
Puad turut mengimbas pengalamannya sendiri ketika mengambil keputusan meninggalkan parti sebelum ini sebagai contoh sesuatu keputusan dibuat atas dasar prinsip perlu dilaksanakan tanpa berbelah bahagi, walaupun terpaksa menanggung risiko politik.
Beliau berkata, ketika itu beliau tetap meneruskan keputusannya untuk keluar parti walaupun Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan yang disifatkannya sebagai semakin kukuh.
“Saya mengambil keputusan untuk keluar parti ketika BN berada dalam kedudukan yang kuat. Saya nyatakan pendirian saya dan saya tetap melaksanakannya.
“Akhirnya BN berjaya memenangi 48 kerusi, namun saya tidak pernah menyesali keputusan tersebut kerana mesej yang ingin saya sampaikan telah sampai, walaupun pada masa sama saya turut kehilangan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Puad turut mengaitkan isu itu dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh, yang menurutnya sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan, namun keputusan tersebut tidak diteruskan.
Beliau mendakwa tindakan itu menunjukkan ketidakkonsistenan antara kenyataan dan pelaksanaan, selain menyifatkan pelbagai alasan yang diberikan selepas itu sebagai tidak mencerminkan ketegasan seorang pemimpin.
“Jangan ikut apa yang dilakukan Akmal. Dia pernah kata mahu meletakkan jawatan, tetapi akhirnya tidak berbuat demikian. Pelbagai alasan diberikan. Orang kata, kalau hendak, seribu daya. Kalau tidak hendak, seribu dalih,” katanya.
Puad menegaskan, dalam dunia politik, integriti seseorang pemimpin bukan sekadar diukur melalui kenyataan yang dibuat kepada umum, sebaliknya dinilai berdasarkan kesediaan untuk melaksanakan apa telah dijanjikan atau diikrarkan.
Beliau berpandangan, seseorang pemimpin yang gagal menunaikan komitmen dibuat sendiri akan berdepan persoalan mengenai kredibiliti dan integriti di mata rakyat serta penyokong parti.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L