SHAH ALAM – Aliran air luar biasa deras dari kawasan Hulu Langat, fenomena air pasang besar serta hujan lebat dikenal pasti sebagai faktor menyebabkan benteng di kawasan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bukit Changgang, Kuala Langat pecah kira-kira jam 6 pagi semalam, sekali gus mengakibatkan banjir.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor turut merekodkan taburan hujan sebanyak 95 milimeter di kawasan berkenaan.
“Susulan kejadian itu, air melimpah masuk ke kawasan kampung dan penduduk terjejas dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang yang dibuka semalam.
“Setakat jam 8 pagi ini, sebanyak 783 mangsa daripada 241 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata, pihaknya membuka dua pos kawalan di kawasan terjejas serta menyediakan pengangkutan menggunakan lori dan bot bagi membantu operasi pemindahan penduduk, khususnya warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), bayi dan kanak-kanak.
Beliau berkata, pemantauan dan rondaan berkala setiap satu jam turut dilaksanakan sejak semalam bagi memantau keadaan di kawasan terjejas, dengan paras air pada pagi ini dilihat sedikit surut berbanding tengah malam tadi.
“JPS sedang melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan menutup bahagian benteng yang pecah dengan sasaran diselesaikan dalam tempoh 24 jam, tertakluk kepada keadaan cuaca. Dua unit pam turut digerakkan bagi membantu mempercepatkan proses mengepam air keluar, selain pam statik sedia ada,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk supaya tidak bermain air banjir, khususnya di kawasan parit, lubang dan kawasan berarus bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – BERNAMA
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
