Oleh Siti Khadijah Manudin
KUALA LUMPUR – Seramai 200 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar pasar malam Taman Maluri, Cheras, pada malam Jumaat.
Operasi yang dijalankan hasil risikan dan aduan awam selama kira-kira dua minggu itu memeriksa ratusan warga asing yang berada di kawasan berkenaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lelaki dan wanita pelbagai negara kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan menyalahgunakan pas imigresen.
Menurut beliau, semua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen untuk siasatan lanjut sebelum tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang.
Zakaria turut memberi amaran bahawa tindakan penguatkuasaan tidak akan terhenti kepada pendatang asing tanpa izin sahaja, malah akan diperluaskan terhadap majikan, pemilik premis serta sindiket yang menggaji atau melindungi warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.
Beliau menegaskan JIM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di seluruh negara bagi membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin dan memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.
Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L