SHAH ALAM – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) memandang serius kenyataan yang diperkatakan oleh seorang pemimpin kanan DAP Selangor, Datuk Teng Chan Kim berhubung cadangan pembinaan Masjid Warisan di kawasan TRX.
Timbalan Presidennya, Hasri Harun menegaskan, kenyataan itu tidak mencerminkan semangat saling menghormati, kefahaman terhadap sejarah dan kedudukan Islam dalam negara serta aspirasi pembinaan sebuah masyarakat majmuk yang harmoni.
Katanya, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan Islam ialah agama bagi Persekutuan, di samping agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Justeru, kata beliau, pembinaan masjid sebagai institusi ibadah, pendidikan dan pembangunan masyarakat adalah sebahagian daripada hak dan identiti negara yang tidak sepatutnya dipolemikkan secara sempit.
“Masjid bukan sekadar tempat solat, malah menjadi pusat pembinaan tamadun, perpaduan, kebajikan dan pengukuhan nilai kemanusiaan.
“Sejarah Islam membuktikan masjid berfungsi sebagai pusat ilmu, dialog, pembangunan ekonomi dan penyelesaian masalah masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
“Dalam konteks pembangunan TRX sebagai mercu tanda kewangan dan kemajuan negara, kewujudan sebuah Masjid Warisan mampu menjadi simbol keseimbangan antara pembangunan material dan pembangunan spiritual,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hasri, kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui bangunan pencakar langit dan kemajuan ekonomi, tetapi juga menerusi kekuatan nilai, akhlak dan identiti kebudayaan yang menjadi asas pembinaan bangsa.
Beliau mengemukakan dua firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah milik Allah, maka janganlah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya selain Allah.” (Surah al-Jinn: 18)
“Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat…” (Surah al-Taubah: 18).
Beliau menyeru semua pihak agar mengelakkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan antara agama dan kaum.
Sebaliknya, budaya dialog, saling menghormati dan memahami kerangka Perlembagaan Persekutuan hendaklah menjadi asas dalam menangani isu-isu berkaitan kepentingan awam.
Dalam masa sama, WADAH mengingatkan pembinaan sebuah negara MADANI menuntut setiap pihak menghormati hak dan sensitiviti masyarakat berbilang kaum serta mengelakkan retorik yang boleh menghakis keharmonian nasional.
“WADAH menyokong segala usaha pembangunan yang menggabungkan kemajuan ekonomi dengan pembangunan rohani dan pembinaan akhlak masyarakat.
“Masjid Warisan di TRX berpotensi menjadi lambang bahawa Malaysia mampu mengimbangi kemodenan dengan nilai nilai luhur yang menjadi asas pembinaan tamadunnya.
“WADAH berharap semua pihak dapat mengutamakan kebijaksanaan, kesederhanaan dan semangat muafakat dalam membincangkan isu ini demi memelihara perpaduan dan kestabilan negara,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L