Nik Nazmi Serah Kepada SPRM Siasat Dakwaan Isu Pemindahan Gajah ke Jepun

KOTA BHARU – Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan pemindahan tiga ekor gajah ke Jepun dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Beliau berkata, dakwaan yang mengaitkan dirinya dalam isu berkenaan adalah tidak berasas dan tidak melibatkan dirinya secara langsung.

“Benda itu saya tidak terlibat dan kalau hendak siasat, itu hak mereka,” katanya ketika ditemui pada program Jelajah Parti Bersama Malaysia (Bersama) di Pantai Cahaya Bulan di sini, pada Sabtu.

Mengulas sama ada beliau mengalu-alukan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nik Nazmi menjelaskan bahawa pendiriannya mengenai perkara itu telah dinyatakan sebelum ini.

“Ya, saya dah sebut sebelum ini,” katanya ringkas kepada pemberita.

Isu berkenaan timbul selepas kumpulan hak hidupan liar, Peguam Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup), menyatakan hasrat untuk membuat laporan kepada SPRM berhubung pemindahan tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat ke sebuah zoo di Osaka, Jepun.

Kumpulan itu mendakwa terdapat bayaran berkaitan urusan pemindahan berkenaan yang tidak disalurkan kepada kerajaan serta mengaitkan beberapa individu dengan transaksi yang didakwa bernilai RM53 juta.

Bagaimanapun, Nik Nazmi sebelum ini telah menafikan sebarang pembabitan dirinya atau bekas pejabatnya dalam urusan yang dipersoalkan itu. Beliau turut menegaskan bahawa kelulusan akhir bagi pemindahan gajah berkenaan dibuat selepas beliau meninggalkan jawatan sebagai menteri pada Julai tahun lalu.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh SPRM berhubung dakwaan tersebut.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *