Oleh Siti Khadijah Manudin
KUALA LUMPUR – Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan telah memaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa seramai 61 Ahli Parlimen pembangkang bersetuju melantik semula Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Takiyuddin, keputusan itu dicapai selepas mendapat persetujuan majoriti Ahli Parlimen pembangkang. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Speaker Dewan Rakyat kerana menerima pemakluman tersebut.
Sebelum ini, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengumumkan bahawa Hamzah akan kembali memegang jawatan Ketua Pembangkang selepas rundingan diadakan dengan Ahli Parlimen PAS serta wakil rakyat yang berpihak kepada Hamzah.
Hamzah sebelum ini melepaskan jawatan tersebut selepas disingkirkan daripada parti Bersatu pada Februari lalu. Jawatan itu kemudiannya disandang oleh Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum keputusan baharu dibuat untuk mengembalikan Hamzah ke posisi berkenaan.
Perkembangan itu dilihat sebagai usaha PN menyusun semula kepimpinan blok pembangkang menjelang sidang Parlimen akan datang, dengan Hamzah kembali mengetuai barisan pembangkang di Dewan Rakyat.
Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L