Anwar: Koperasi Instrumen Penting Perkasa Demokrasi Sosial dan Keadilan Ekonomi

Oleh Siti Khadijah Manudin

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan gerakan koperasi bukan sekadar medium menjana keuntungan atau dividen, sebaliknya merupakan instrumen penting dalam memperkukuh demokrasi sosial serta memastikan pengagihan manfaat ekonomi yang lebih adil kepada rakyat.

Beliau berkata, koperasi membawa gagasan besar untuk membina kekuatan ekonomi rakyat melalui penyertaan yang lebih meluas dan perkongsian manfaat yang lebih saksama berbanding penguasaan kekayaan oleh segelintir pihak yang memiliki modal serta pengaruh.

Menurutnya, demokrasi yang sebenar tidak hanya tertumpu kepada perebutan kuasa politik, sebaliknya perlu membuka ruang kepada rakyat untuk terlibat secara aktif dalam kehidupan ekonomi dan menikmati hasil pembangunan negara.

“Demokrasi terbaik ialah demokrasi yang membuka ruang kepada warga untuk menyertai kegiatan ekonomi dan menikmati hasil pembangunan negara,” katanya ketika menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-10 Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) di sini, Ahad.

Anwar berkata, konsep itu turut dikongsi oleh tokoh kemerdekaan Indonesia, Mohammad Hatta atau Bung Hatta yang melihat koperasi sebagai wadah penting untuk mencapai tadbir urus ekonomi dan keadilan sosial.

Beliau menjelaskan, Bung Hatta percaya masa depan Indonesia yang merdeka tidak boleh dibina atas penguasaan kekayaan oleh kelompok tertentu, sebaliknya perlu menyokong penyertaan rakyat secara lebih meluas dalam ekonomi.

Pada masa sama, Anwar turut merujuk pemikiran tokoh India, Dr B.R. Ambedkar yang berpandangan bahawa demokrasi tidak bermakna sekiranya gagal merungkai sistem yang menindas serta mengekalkan jurang dalam masyarakat.

“Demokrasi yang sebenar mesti memberi peluang kepada golongan yang sekian lama terpinggir untuk menikmati kemajuan dan peluang yang dicapai oleh negara,” katanya.

Beliau berkata, prinsip sama turut diterapkan dalam ajaran Islam menerusi semangat ta’awun atau kerjasama dalam melakukan kebaikan, yang menggalakkan masyarakat berganding bahu membantu golongan lemah menghadapi cabaran kehidupan.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan koperasi sebagai instrumen penting dalam demokrasi sosial kerana mampu memperluas penyertaan rakyat, memperkasa komuniti serta memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh lebih ramai anggota masyarakat.

Dalam kerangka Malaysia MADANI, katanya, kerajaan komited menjana pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan serta meneroka bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan peralihan tenaga.

Namun, beliau menegaskan kemajuan tersebut hanya bermakna sekiranya hasilnya dapat diagihkan secara adil dan dirasai oleh seramai mungkin rakyat.

“Keadaan yang adil bukan bermaksud memberi perkara yang sama kepada semua orang. Keadilan bermaksud memastikan setiap warga mendapat peluang berdasarkan keperluan dan keadaan masing-masing,” katanya.

Menurut beliau, keadilan sosial dan kesaksamaan perlu terus menjadi asas kepada pembangunan negara supaya kemajuan yang dicapai dapat memelihara martabat insan serta membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat.

Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *