Anwar Tegaskan Komitmen Perkukuh Integriti, Reformasi Institusi

Oleh NurFarhana Zulkeply

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh tadbir urus, integriti dan agenda reformasi institusi negara bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih adil, telus dan berdaya saing.

Perkara itu ditegaskan beliau ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim Aman.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata usaha memperkukuh tatakelola dan integriti perlu terus diperkasakan kerana ia merupakan asas penting dalam pembinaan negara serta keyakinan rakyat terhadap institusi awam.

“Saya menegaskan bahawa integriti bukan sekadar tuntutan dalam perkhidmatan awam, tetapi asas penting bagi menjamin keyakinan rakyat, menarik pelaburan berkualiti serta menentukan masa depan negara yang lebih mampan,” katanya.

Menurut beliau, pengukuhan integriti turut memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi, kemasukan pelaburan serta pembangunan negara secara menyeluruh.

Anwar berkata, Kerajaan MADANI akan terus memperkasa SPRM sebagai sebuah institusi yang berwibawa dan dihormati dalam usaha membanteras rasuah tanpa sebarang kompromi.

Beliau menegaskan bahawa usaha memerangi rasuah perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan hasil pembangunan dan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh generasi masa kini serta akan datang.

“Kerajaan MADANI akan terus memperkasakan SPRM sebagai institusi yang berwibawa dan dihormati dalam usaha membanteras rasuah tanpa kompromi,” katanya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri menekankan bahawa agenda reformasi institusi kekal menjadi antara keutamaan kerajaan dalam memperkukuh sistem pentadbiran negara serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Kunjungan hormat tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan SPRM dalam memperkukuh kerjasama strategik bagi mempertingkatkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam sektor awam.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *