GSF 2.0: 28 aktivis Malaysia selamat tiba di KLIA, angkat kisah mendaulatkan Palestin

SEPANG Kepulangan 28 aktivis Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 malam ini bukan sekadar kisah mereka ditahan rejim Israel, sebaliknya membawa mesej lebih besar iaitu perjuangan memerdekakan Palestin.

Kesemua mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 kira-kira jam 9.50 Ahad malam.

Ketibaan mereka disambut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Penaung Misi GSF, ahli keluarga serta ratusan penyokong solidariti Palestin yang berhimpun di balai ketibaan seawal jam 5 petang.

Mereka kemudian ke pentas utama untuk berkongsi pengalaman sepanjang berlayar menuju ke Gaza.

Walaupun ditahan rejim Israel dan berdepan tekanan sepanjang misi itu, petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Jihan Alya Mohd Nordin berkata, pengalaman mereka tidak setanding penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin terutama di Gaza.

“Kami rasa apa yang kami lalui ini terlalu kecil. Penindasan dan siksaan rakyat Palestin jauh lebih teruk daripada kami.

“Selepas apa yang kami lalui, kami lebih tekad untuk sebarkan mesej bebaskan Palestin. Kita perlu menjadi orang yang menggerakkan kemerdekaan Palestin,” katanya semasa berucap dalam majlis menyambut kepulangan peserta GSF 2.0, di sini, pada Ahad.

Sementara itu, seorang lagi aktivis, Patmanathan Sivasamy atau dikenali sebagai Kapten Siva pula menyifatkan, sokongan rakyat Malaysia sepanjang misi ini sebagai kekuatan terbesar buat mereka.

“Saya bangga jadi warga Malaysia berbangsa India. Terima kasih kerana sudi mendoakan kami. Selepas ini saya dan keluarga lebih bertekad untuk bebaskan Palestin,” katanya.

Beliau turut berkongsi kata-kata anaknya sebelum menyertai misi berkenaan yang menjadi pembakar semangat sepanjang pelayaran itu.

“Masa saya pergi misi ini, anak saya cakap…. ‘Papa, saya sangat bangga dengan papa. Papa teruslah pergi ke Gaza. Kalau papa tidak kembali, jangan risau. Selepas 10 tahun, saya yang akan pergi ke Gaza’,” katanya dalam nada sebak.

Kini, rakyat Malaysia menantikan seorang lagi aktivis, Razman Mat Ali yang masih berada di Istanbul bagi menerima rawatan selepas mengalami ‘traumatic pneumothorax‘ atau paru-paru bocor akibat ditumbuk tentera Israel dan dijangka pulang sekitar tiga minggu lagi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *