Insiden tembakan di masjid San Diego: 5 maut, termasuk 2 suspek

SAN DIEGO – Tiga maut termasuk seorang pengawal keselamatan selepas dua remaja lelaki bersenjata melepaskan tembakan di Pusat Islam San Diego, California semalam, dalam kejadian yang kini disiasat pihak berkuasa sebagai jenayah kebencian.

Ketua Polis San Diego, Scott Wahl mengesahkan dua penyerang remaja berkenaan melepaskan tembakan di luar masjid berkenaan, mengorbankan tiga lelaki termasuk seorang pengawal keselamatan, sebelum kedua-dua suspek ditemui mati dipercayai akibat membunuh diri.

Beliau berkata, semua kanak-kanak yang menghadiri sekolah harian di pusat itu yang juga masjid terbesar di wilayah berhampiran sempadan Mexico, dilaporkan selamat dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari waktu tempatan (7 pagi waktu Malaysia).

Wahl memaklumkan, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sudah dipanggil untuk membantu siasatan dan setakat ini, motif kejadian belum dikenal pasti.

Insiden itu berlaku seminggu sebelum umat Islam menyambut Aidiladha serta musim kemuncak ibadah haji di Mekah, Arab Saudi.

“Kami tidak pernah mengalami tragedi seperti ini sebelum ini. Ia adalah tindakan yang sangat melampau kerana menyasarkan tempat ibadat,” kata Imam dan Pengarah pusat berkenaan, Taha Hassane kepada pemberita.

Puluhan anggota penguat kuasa yang dikejarkan ke lokasi kejadian menemui mayat tiga lelaki di luar bangunan dan pihak berkuasa memuji tindakan pengawal keselamatan yang terkorban kerana berjaya menghalang insiden menjadi lebih buruk.

Beliau berkata, polis menemui mayat dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 19 tahun dalam sebuah kenderaan di tengah jalan, dengan kesan tembakan sendiri.

Pada masa sama, ketika polis sedang bertindak balas terhadap insiden di masjid tersebut, beberapa das tembakan turut dilepaskan ke arah seorang pekerja landskap beberapa blok dari lokasi kejadian.

Bagaimanapun, pekerja itu tidak cedera dan pihak berkuasa masih menyiasat sama ada kedua-dua insiden itu mempunyai kaitan.

Wahl berkata, seramai 50 hingga 100 anggota polis dari seluruh kawasan San Diego dikerahkan ke lokasi dalam tempoh empat minit selepas menerima panggilan kecemasan mengenai kehadiran penyerang aktif. Masjid berkenaan terletak di daerah komersial dan perumahan Clairemont.

Rakaman stesen televisyen tempatan menunjukkan puluhan kereta peronda berada di atas jambatan lebuh raya berhampiran pusat itu, dengan anggota polis mengacukan raifal ke arah kompleks berkenaan.

Anggota polis berpakaian taktikal lengkap bersenjata turut kelihatan berada di atas bumbung masjid berhampiran kubah bagi mengawal keadaan. Bagaimanapun, Wahl mengesahkan tiada sebarang tembakan dilepaskan oleh pihak penguat kuasa sepanjang operasi itu.

Pusat Islam di Clairemont adalah masjid terbesar di San Diego dan menempatkan Bright Horizon Academy, sebuah sekolah yang menyediakan pendidikan Islam.

Walaupun insiden keganasan bersenjata kerap berlaku di tempat awam di Amerika Syarikat, komuniti Islam dan Yahudi di negara itu kini dilaporkan berada dalam keadaan semakin bimbang.

Ketegangan itu meningkat sejak tentera AS dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 28 Februari lalu, yang mencetuskan perang berlarutan di rantau Asia Barat. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *