“Sakau” bertemu fakta audit: Bekas Ketua Audit Negara persoal asas dakwaan

KUALA LUMPUR – Perbezaan antara dapatan audit Jabatan Audit Negara (JAN) dan semakan kewangan firma PricewaterhouseCoopers (PwC) berhubung penyata kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) 2017 perlu dilihat berdasarkan skop, metodologi serta bukti yang digunakan, kata bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata, perkara itu antara penjelasan penting yang dikemukakan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad ketika menghadiri Musyawarah Nasional 2.0: Realiti dan Persepsi, Jangan Mempolitikkan Tabung Haji di Kuala Lumpur semalam.

Menurut Dr. Ahmad Marzuk, Dr. Madinah adalah Ketua Audit Negara yang menandatangani audit penyata kewangan TH bagi 2017, namun kemudian dikatakan “tidak tegas” dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“Daripada banyak pembentangan, yang paling menarik perhatian saya ialah penjelasan Tan Sri Dr Madinah Mohamad. Beliaulah yang menandatangani audit penyata kewangan Tabung Haji 2017.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

“Hari ini saya mendengar sendiri penjelasannya,” katanya dalam kenyataan.

Dr. Ahmad Marzuk berkata, JAN dan PwC tidak menjalankan tugasan yang sama kerana JAN melaksanakan audit berkanun berdasarkan mandat undang-undang, piawaian audit, bukti yang tersedia ketika itu serta pertimbangan profesional juruaudit.

Sebaliknya, katanya, PwC menjalankan semakan kewangan (financial review) dengan skop dan metodologi yang berbeza.

Beliau berkata, penyata kewangan 2017 yang diaudit JAN merekodkan keuntungan sekitar RM3.4 bilion, manakala semakan PwC selepas itu mengambil kira pelarasan sekitar RM4.8 bilion, termasuk berkaitan impairment dan penilaian, sehingga menghasilkan kerugian terlaras sekitar RM1.4 bilion.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

“Di sinilah perkara yang mesti diperjelaskan. Impairment bukan ‘sakau’.

“Kalau sebuah aset dibeli RM1 juta kemudian nilainya dinilai RM700,000, berlaku kemerosotan nilai RM300,000 dalam akaun. Tetapi RM300,000 itu tidak semestinya hilang atau masuk ke poket seseorang,” katanya.

Menurut Dr. Ahmad Marzuk, JAN bukan tidak menemukan masalah dalam penyata kewangan TH, sebaliknya turut membangkitkan isu berkaitan impairment dan polisi perakaunan.

Namun, katanya, kewujudan isu perakaunan tidak sama dengan kesimpulan berlaku kecurian atau penyelewengan.

Beliau berkata. Dr. Madinah turut menegaskan sepanjang tempoh beliau mengetuai JAN, pasukan audit tidak menemui bukti kecurian atau penyelewengan dalam TH.

“Katanya, kalau bukti itu ditemui, bukan sahaja beliau tidak akan menyembunyikannya, bahkan akan diketengahkan dan dilaporkan,” katanya.

Dr. Ahmad Marzuk turut menarik perhatian terhadap jawapan Dr. Madinah ketika ditanya mengenai istilah “sakau”.

“Saya tak faham apa erti sakau. We go by the facts and the evidence,” katanya memetik penjelasan bekas Ketua Audit Negara itu.

Dalam pada itu, Dr. Ahmad Marzuk berkata, JAN sebagai institusi audit negara perlu dinilai berdasarkan standard profesional dan bukti, bukannya slogan politik.

Beliau berkata, institusi berkenaan telah wujud sejak 1906, manakala kedudukan Ketua Audit Negara pula dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Menyentuh keputusan audit TH 2017, Dr. Ahmad Marzuk berkata, Dr. Madinah turut menjelaskan sebab beliau akhirnya memilih pendapat tanpa teguran dengan Emphasis of Matter, walaupun pada peringkat awal mempertimbangkan sijil berteguran.

Menurutnya, antara pertimbangan ketika itu ialah risiko kehilangan keyakinan pendeposit yang berpotensi mencetuskan run on TH.

“Masalah tidak disembunyikan, tetapi jangan sampai cara merawat pesakit menyebabkan pesakit itu sendiri rebah,” katanya.

Dr. Ahmad Marzuk turut membangkitkan persoalan mengenai proses mendapatkan keterangan Dr. Madinah oleh RCI.

Menurutnya, Dr. Madinah telah disapina untuk memberikan keterangan kepada RCI dan hadir untuk berbuat demikian, malah menunggu sekitar 45 minit hingga satu jam.

Bagaimanapun, katanya, beliau akhirnya diberitahu tidak perlu masuk dan boleh pulang.

“Orang yang menandatangani audit 2017 tidak didengar keterangannya, tetapi laporan RCI kemudiannya membuat pemerhatian Ketua Audit Negara ketika itu ‘tidak tegas’.

“Kalau mahu menilai ketegasan seseorang, mengapa tidak dengar dahulu penjelasan orang itu sendiri?” katanya.

Dr. Ahmad Marzuk berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada terdapat sisi cerita berkaitan audit TH 2017 yang belum didengari secara menyeluruh.

Katanya, perbezaan antara impairment, penilaian aset dan pertimbangan profesional perlu dibahaskan berdasarkan angka, kaedah serta piawaian yang digunakan.

Namun, kata beliau, penggunaan istilah “sakau” membawa beban pembuktian yang jauh lebih besar.

“Kalau mahu mengatakan berlaku impairment, bentangkan angka dan kaedahnya. Kalau mahu mengatakan berlaku kesilapan penilaian, bahaskan piawaiannya.

“Tetapi kalau mahu menamakannya ‘sakau’, bebannya jauh lebih berat. Siapa yang mengambil? Berapa yang diambil? Ke mana wang itu pergi?

Impairment boleh diperdebatkan. Valuation boleh berbeza. Professional judgment boleh dinilai. Tetapi ‘sakau’ memerlukan bukti. Bukan slogan,” katanya.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *