Piala Agong: Fokus Terengganu Untuk Raih Kemenangan Kedua Musim Ini Di Laman Sendiri

KUALA TERENGGANU – Beraksi di laman sendiri tidak menjanjikan laluan mudah buat Terengganu apabila dijadual menerima kunjungan Kelantan dalam aksi kedua Kejuaraan Ragbi Piala Agong edisi ke-42, hujung minggu ini.

Pasukan pelawat hadir dengan keyakinan tinggi selepas mencipta kejutan menewaskan penyandang juara Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada perlawanan pembukaan minggu lalu, sekali gus mengangkat status mereka sebagai antara pencabar utama musim ini.

Situasi itu mendorong ketua jurulatih Terengganu, Hafiizh Zainal, untuk memperkemas persiapan pasukan yang kini memburu kemenangan kedua berturut-turut di hadapan penyokong sendiri.

Menurutnya, kemenangan tipis yang diraih sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kekuatan pasukan, apatah lagi masih terdapat beberapa kelemahan ketara yang perlu diberi perhatian segera.

“Kita akui masih banyak kesilapan mudah yang membuka ruang kepada lawan dalam perlawanan pertama. Aspek komunikasi antara pemain juga perlu dipertingkatkan dan perkara itu sudah diberi penekanan dalam latihan minggu ini.

“Bermain sebagai tuan rumah pasti menambah tekanan, lebih-lebih lagi Kelantan datang dengan reputasi besar selepas menewaskan juara bertahan. Namun sasaran kami tetap jelas iaitu memastikan kemenangan di laman sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, Hafiizh menegaskan Kelantan bukan pasukan yang boleh dipandang ringan, apatah lagi dibarisi pemain berpengalaman termasuk tonggak kebangsaan serta dibimbing jurulatih yang memiliki latar belakang luas di pentas kebangsaan mahupun antarabangsa.

Setelah mengharungi aksi pembuka tirai pada minggu lalu, Terengganu dan Kelantan masing-masing mengutip tiga mata untuk berkongsi kedudukan teratas Kumpulan B. Wilayah Kuala Lumpur menghuni tangga ketiga manakala PDRM berada di kedudukan tercorot.

Begitu juga bagi saingan Kumpulan A menyaksikan Johor dan Negeri Sembilan turut berkongsi tiga mata di puncak carta, diikuti ATM, Kedah dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *