Bayi Tertukar di HTA Selamat Dikembalikan, Hospital Perketat Prosedur Keselamatan

KUALA LUMPUR – Insiden pertukaran bayi secara tidak sengaja yang berlaku di wad Hospital Tunku Azizah (HTA) berjaya diselesaikan dengan kedua-dua bayi terlibat telah diserahkan semula kepada ibu masing-masing dalam keadaan selamat.

Pengarah HTA, Dr Shamsul Anuar Kamarudin berkata, tindakan pembetulan segera telah diambil sebaik sahaja pihak hospital menyedari kejadian berkenaan.

Menurut beliau, pihak hospital turut memberikan penerangan serta sokongan sewajarnya kepada keluarga yang terlibat bagi memastikan situasi dapat dikendalikan dengan baik dan teratur.

“Hasil semakan awal mendapati tiada sebarang prosedur penyusuan atau rawatan yang menjejaskan keselamatan bayi berlaku sepanjang tempoh insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pihak hospital memahami kebimbangan masyarakat susulan isu berkenaan yang tular di media sosial dan memberi jaminan bahawa aspek keselamatan serta kebajikan bayi sentiasa menjadi keutamaan utama hospital.

“Pihak hospital telah mengambil tindakan segera mengikut prosedur yang ditetapkan bagi memastikan situasi dapat ditangani dengan pantas dan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar memaklumkan satu siasatan dalaman sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian selain menambah baik prosedur kerja sedia ada bagi mengelakkan insiden sama berulang pada masa hadapan.

Katanya, HTA juga akan memperkukuh langkah kawalan dalaman termasuk aspek pemantauan dan pengesahan identiti bayi bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap mutu perkhidmatan hospital.

“HTA komited memastikan keselamatan pesakit sentiasa berada pada tahap tertinggi dan amat menghargai kerjasama serta kefahaman semua pihak,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *