KUALA LUMPUR – Tiada sebarang aduan mengenai kes penipuan haji diterima bagi musim haji tahun ini, namun pemantauan terus dipergiat bagi membendung kegiatan tersebut daripada berleluasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata pihaknya bersama Lembaga Tabung Haji (TH) serta Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), sentiasa mempergiat pemantauan bagi memastikan tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada TH untuk mendapatkan pengesahan, sekiranya menerima sebarang tawaran atau maklumat meragukan berkaitan urusan haji bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 di sini hari ini.
Semalam, TH memaklumkan tiada jemaah Malaysia dikesan menggunakan visa palsu atau ditahan pihak berkuasa Arab Saudi setakat ini, kerana cuba menunaikan ibadah berkenaan tanpa permit atau visa haji yang sah.
Sementara itu, Zulkifli berkata operasi haji tahun ini secara keseluruhannya berjalan lancar hasil perancangan teliti dan penambahbaikan berterusan oleh TH.
Beliau berkata trend itu turut menyaksikan perubahan positif apabila peratusan bakal jemaah yang merayu untuk menangguhkan perjalanan haji menunjukkan penurunan ketara.
“Alhamdulillah, hasil perancangan teliti tahun ini, kita dapat melihat perubahan serta penambahbaikan yang begitu ketara. Antaranya, kadar bakal jemaah yang menangguhkan haji semakin berkurangan pada peratusan yang sangat baik,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Zulkifli berkata penjawat awam khususnya warga hal ehwal agama perlu membudayakan pemikiran kritis ketika melaksanakan tugas seiring dengan cabaran era teknologi serta Kecerdasan Buatan (AI).
Beliau berkata transformasi dalam perkhidmatan awam tidak seharusnya bergantung kepada adaptasi teknologi semata-mata, sebaliknya memerlukan perubahan budaya kerja, tingkah laku dan cara berfikir.
Selain itu, Zulkifli turut mengajak penjawat awam menilai semula pendekatan diri dan organisasi dalam usaha memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata konsep itu, turut diketengahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi bukunya bertajuk Rethinking Ourselves yang mengajak masyarakat menilai semula cara berfikir demi membina masa depan yang lebih baik. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L