KOTA BHARU – Keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Majlis Peguam Malaysia memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Discharge Not Amounting to an Acquittal (DNAA) melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka membuka ruang perbahasan lebih luas berhubung kedudukan serta batas kuasa Peguam Negara menurut Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh, Nik Saiful Adli Burhan berkata, isu kuasa budi bicara Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan sememangnya sering menjadi perhatian khususnya apabila melibatkan kes berprofil tinggi dan tokoh politik utama negara.
Menurut beliau, keputusan Mahkamah Rayuan hari ini perlu dilihat dalam konteks undang-undang yang lebih luas dan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai keputusan terhadap merit sebenar kes atau kesalahan individu yang terlibat.
Nik Saiful Adli menjelaskan, Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa kepada Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan sesuatu prosiding jenayah berdasarkan budi bicara beliau.
Peruntukan tersebut menyatakan:
“Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.”
Beliau berkata, kuasa tersebut merupakan prerogatif yang diberikan secara langsung oleh Perlembagaan kepada institusi Peguam Negara dan ia perlu dihormati dalam kerangka kedaulatan undang-undang.
Menurutnya, tindakan memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan DNAA itu boleh dilihat sebagai satu langkah yang mencabar prerogatif perlembagaan sekiranya tidak disandarkan kepada asas undang-undang yang benar-benar kukuh.
Mengulas lanjut, Nik Saiful Adli yang juga peguam berkata, keputusan DNAA dalam kes Yayasan Akalbudi sebelum ini dibuat selepas mengambil kira representasi pihak pembelaan serta perkembangan tertentu berkaitan siasatan.
Katanya, dalam konteks itu, Peguam Negara bertindak atas kapasiti sebagai Dominus Litis atau “tuan punya tindakan undang-undang”, iaitu pihak yang mempunyai kuasa mutlak menentukan hala tuju pendakwaan.
Menurut beliau, pengamal undang-undang memahami bahawa keputusan seperti DNAA bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan penilaian profesional terhadap bukti, siasatan dan kemungkinan prosiding diteruskan.
Beliau turut menegaskan, Peguam Negara mempunyai akses kepada dokumen siasatan, keterangan serta maklumat yang tidak dimiliki oleh orang awam atau organisasi luar.
“Oleh itu, keputusan beliau sewajarnya dilihat dalam kerangka keadilan profesional, bukannya dipengaruhi naratif politik atau sentimen tertentu,” katanya.
Nik Saiful Adli turut mengingatkan semakan kehakiman tidak seharusnya dijadikan alat untuk mencabar kestabilan politik atau menyerang mana-mana individu hanya kerana kedudukan politik mereka.
Menurut beliau, sekiranya tindakan semakan dibuat semata-mata kerana kes itu melibatkan Presiden UMNO atau didorong agenda tertentu, ia boleh dianggap sebagai penyalahgunaan proses mahkamah (abuse of court process).
Beliau berkata, cabaran berlebihan terhadap kuasa budi bicara Peguam Negara juga berpotensi mewujudkan ketidakpastian dalam sistem keadilan jenayah negara.
“Sekiranya setiap keputusan pendakwaan sentiasa terdedah kepada campur tangan pihak ketiga yang mempunyai kepentingan tertentu, ia boleh memberi implikasi besar terhadap kestabilan institusi perundangan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyeru ahli parti dan rakyat memahami konsep kedaulatan undang-undang (Rule of Law) bukan sekadar memberi ruang kepada semakan institusi, tetapi juga menghormati kuasa yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan kepada pemegang jawatan tertentu.
Katanya, mempertikaikan keputusan Peguam Negara tanpa asas undang-undang yang jelas hanya akan menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
“Kesetiaan kepada Perlembagaan menuntut kita menerima bahawa Peguam Negara diberikan kuasa tertentu di bawah undang-undang tertinggi negara dan kuasa itu perlu dihormati,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan, keputusan Mahkamah Rayuan hari ini hanyalah berkaitan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman atau leave of the court, bukannya keputusan terhadap merit utama kes.
Beliau berkata, keputusan tersebut juga tidak bermaksud mahkamah telah memutuskan tindakan Peguam Negara adalah salah atau tidak sah.
“Mahkamah juga tidak membatalkan keputusan DNAA dan jauh sekali memutuskan Presiden UMNO sabit atau bersalah,” katanya.
Menurut beliau, keputusan memberikan kebenaran semakan itu sememangnya telah dijangka memandangkan kes berkenaan melibatkan isu baharu yang jarang berlaku serta belum pernah diputuskan secara muktamad sebelum ini.
Katanya, faktor tersebut menjadikan ia wajar untuk didengar melalui proses semakan kehakiman bagi mendapatkan tafsiran undang-undang yang lebih jelas berhubung skop kuasa Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L